Tiada ujian tentukan data telefon bimbit


Razana Md. Salleh.

SHAH ALAM 20 Nov. – Tiada sebarang ujian dijalankan terlebih dahulu untuk menentukan sama ada data yang terkandung di dalam 11 telefon bimbit dan kad sim yang menjadi bahan bukti perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, telah dipinda, diubah atau ditokok tambah sebelum proses mengekstrak data dilakukan.

Juruanalisis Forensik Digital, Razana Md. Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ujian tersebut tidak dijalankan kerana data yang diperoleh itu adalah yang asal dan tidak boleh dibandingkan dengan yang lain kerana tiada bench mark (standard untuk membuat perbandingan).

Razana, 29, bertugas di Pusat Maklumat Balas Kecemasan, Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (NISER) yang kini dikenali CyberSecurity Malaysia.

Terdahulu, setelah peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar berkali-kali ‘mempermudahkan’ soalannya, Razana yang pada awalnya memberitahu agak biasa dengan perisian komputer, mengakui bahawa tidak tahu terdapat perisian lain yang boleh mengubah suai atau meminda data dalam kad sim.

Ahmad Zaidi: “Berdasarkan pengetahuan kamu, adakah CyberSecurity atau NISER menjalankan ujian terlebih dahulu untuk menentukan tiada pengubahsuaian terhadap semua barang kes yang kamu periksa.”

Sambil tersenyum Razana yang agak kurang jelas dengan soalan tersebut, telah bertanya semula kepada peguam, bolehkah beliau (Ahmad Zaidi) menjelaskan apakah ujian tersebut.

Ahmad Zaidi yang pada mulanya berkata: “Manalah saya tahu”, bagaimanapun telah mengulang soalan tersebut.

Setelah memahami maksud soalan peguam itu, Razana memberitahu bahawa NISER atau CyberSecurity Malaysia tidak menjalankan sebarang ujian bagi menentu sahkan data-data dalam telefon bimbit tersebut sama ada ia telah dipinda atau diubah sebelum proses mengekstrak data dilakukan.

Sungguhpun begitu, ujar saksi, beliau telah menjalankan proses mengekstrak data sebanyak dua kali untuk bahan bukti tersebut.

Semakan

Ia bertujuan untuk membuat semakan semula bagi memastikan data yang telah diperoleh itu, jawab Razana dengan tenang.

“Hasil semakan, saya mendapati tiada perbezaan data dikesan dan perolehan datanya adalah sama,” kata Razana ketika diminta oleh Ahmad Zaidi untuk memastikan perkara tersebut.

Razana ialah saksi pendakwa ke-54 yang memberikan keterangan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin yang mendengar perbicaraan kes terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang dituduh membunuh Altantuya.

Azilah dan Sirul didakwa melakukan pembunuhan itu di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-duanya dibicarakan bersama dengan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan masuk hari ke-60 hari ini.

Dalam pada itu, Razana berpeluang menghuraikan jawapan beliau ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Katanya, beliau telah mengekstrak butir-butir khidmat pesanan ringkas (SMS yang dihantar dan diterima) dan data panggilan suara.

Butiran tersebut, tambah Razana, terkandung di dalam folder in box (fail mesej atau panggilan yang diterima) dan sent items (butiran penghantaran).

Sambil menerangkan apakah fail yang boleh dan tidak boleh diubah suai, Razana berkata: “Data-data yang terkandung misalnya di dalam phone book (menu senarai), contact (senarai nama dan nombor telefon) dan kalendar boleh diubah suai tetapi data ini tidak mempunyai rekod transaksi.”

“Dan bukannya data ini yang diarahkan supaya diekstrak, oleh itu tidak perlu menjalankan ujian terlebih dahulu bagi memastikan sama ada data tersebut telah diubah suai,” jelas beliau.

Pada peringkat awal keterangan, ketika Razana diminta meneliti telefon bimbit di hadapan beliau, saksi itu kemudiannya kelihatan mencari-cari sesuatu yang terjatuh di dalam kandang saksi.

Hakim Mohd. Zaki yang memandang ke arah saksi bertanya: “Apa yang kamu cari.”

Tun Abdul Majid memberitahu bahawa kad SIM yang dipegang oleh Razana telah terjatuh dan pihaknya akan mencarinya selepas itu.

Sementara itu, mahkamah turut mendengar keterangan daripada Ketua Jurutera di Bahagian Maklumat Perkhidmatan dan Bil, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis Communications Bhd. (Maxis), Goh Peng Chew, 38.

Disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, Peng Chew berkata, beliau telah diminta supaya mengekstrak butiran-butiran pemanggil termasuklah melalui panggilan suara (masuk dan keluar) dan SMS (hantar dan terima) berdasarkan nombor-nombor yang diberikan kepadanya.

Terdapat 11 nombor telefon yang diarahkan supaya diekstrak iaitu 0122132303, 0123916082, 0129042042, 0122473286, 0123723584, 0122409311, 0173992411, 0122345307, 0176943007, 0176430585, dan 0122860971.

Sungguhpun begitu, jelas Peng Chew, beliau tidak memeriksa menerusi sistem, pemilik nombor-nombor telefon bimbit tersebut.

Noorin selepas itu mengemukakan senaskah buku mengandungi butiran log Maxis yang ditanda sebagai P12(1-224).

Meneliti buku tersebut, saksi mengesahkan itulah butiran yang telah diekstrak oleh beliau.

Bagi tujuan pemahaman, Noorin telah meminta supaya saksi menjelaskan apakah terma-terma singkatan yang digunakan dalam naskhah yang menjadi bahan bukti perbicaraan.

Selesai dengan proses penerangan, Peng Chew diminta pula membacakan maklumat panggilan yang dibuat atau diterima antara nombor-nombor tersebut.

0 comments: