3.1 juta perokok belanja RM15j sehari

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM15 juta dibelanjakan sehari oleh 3.1 juta perokok di negara ini kerana mereka membeli sekurang-kurangnya sekotak rokok pada harga purata minimum RM5.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon, berkata kadar itu mengambil kira perbelanjaan seorang perokok yang membelanjakan RM5 sehari untuk membeli sekotak rokok.

"Tanpa sedar mereka sebenarnya membelanjakan wang yang banyak untuk memenuhi tabiat merokok, sedangkan duit itu boleh digunakan untuk pelbagai perkara lain lebih berfaedah kepada masyarakat.

"Tabiat merokok menjadi semakin rumit apabila kira-kira 10,000 perokok meninggal dunia pada setiap tahun kerana pelbagai penyakit kritikal kesan daripada rokok seperti sakit jantung, kanser, angin ahmar dan masalah paru-paru," katanya pada sidang media selepas merasmikan talian Infoline Berhenti Merokok di sini, semalam.

Lee berkata, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, semakin ramai golongan muda, khususnya remaja terjebak dengan ketagihan rokok iaitu 2.9 juta daripada 3.1 perokok di negara ini adalah lelaki berusia 25 hingga 64 tahun.

"Seramai 1.1 juta lagi perokok muda yang berusia 25 hingga 34 tahun dan 318,000 perokok pula berusia antara 55 hingga 64 tahun.

"Dari segi jantina, seramai 274,000 perokok adalah wanita. Paling menyedihkan ialah kebanyakan perokok dewasa terdiri daripada ibu bapa," katanya.

Beliau berkata, kerajaan terutama kementerian sudah menjalankan pelbagai program untuk mengurangkan bilangan perokok serta menyedarkan mereka mengenai bahaya merokok, antaranya ialah Kempen Tak Nak Merokok dan talian Infoline bagi membantu perokok berhenti merokok.

"Talian Infoline boleh dihubungi di 03-88834400 yang beroperasi selama lima hari seminggu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala panggilan yang diterima selepas waktu operasi akan dirakam dan petugas akan membuat panggilan balik sebaik saja mereka kembali bertugas.

"Antara perkhidmatan yang disediakan Infoline ialah khidmat nasihat dan tips berhenti merokok serta maklumat mengenai Klinik Berhenti Merokok yang boleh disertai di 300 klinik di seluruh negara.

"Sejak mula beroperasi pada Januari lalu, talian ini sudah menerima 373 pemanggil dan daripada jumlah itu, 63.8 peratus adalah Melayu, 29.2 peratus (Cina), 5.1 peratus (India) dan selebihnya kaum lain," katanya.

Ditanya mengenai kurangnya sambutan terhadap talian berkenaan, Lee berkata pihaknya yakin bilangan pemanggil akan bertambah jika lebih banyak publisiti dibuat mengenai talian berkenaan.

"Pada masa ini, kita sudah melaksanakan pelbagai usaha untuk memberitahu orang ramai, khususnya perokok mengenai talian Infoline dan kempen Tak Nak Merokok seperti yang ada di kaca televisyen dan akhbar," katanya.

0 comments: