Kanun Tanah Negara akan dipinda

PUTRAJAYA 20 Nov. – Kerajaan akan meminda Kanun Tanah Negara 1965 bagi membolehkan sistem e-Tanah diperluaskan ke seluruh Semenanjung Malaysia, seterusnya membawa lonjakan berganda dalam pentadbiran di pejabat-pejabat tanah.

Sistem itu, yang sebelum ini telah dilaksanakan secara perintis di Pulau Pinang mencapai prestasi fizikal pelaksanaan membanggakan iaitu 92.14 peratus sehingga 5 Oktober lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Majlis Tanah Negara yang bermesyuarat hari ini mengambil maklum pencapaian projek perintis itu dan bersetuju ia diperluaskan.

Beliau berkata, pindaan berkenaan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan setelah mendapat kelulusan daripada jemaah menteri.

Menurut beliau, melalui pelaksanaan sistem e-Tanah juga, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk melantik ejen bagi memungut dan menerima bayaran bagi semua jenis hasil tanah.

‘‘Kanun Tanah Negara dipinda Ia juga akan membolehkan pengeluaran hak milik tetap dibuat tanpa perlu mengeluarkan hak milik sementara dan sekiranya telah wujud keadaan yang sesuai seperti ukuran halus, ia dijangka mempercepatkan proses pengeluaran hak milik tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-63 di sini, hari ini.

Najib berkata, melalui pindaan itu, hukuman denda bagi kesalahan pengambilan atau pengalihan bahan batuan secara tidak sah di bawah Seksyen 426 boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM50,000 dan penjara daripada satu tahun kepada lima tahun.

“Hukuman itu juga dikenakan kepada mereka yang menduduki tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah lombong secara haram di bawah Seksyen 425,” katanya.

Selain itu, katanya, pindaan berkenaan juga akan mewajibkan tuan tanah menyerahkan balik kepada pihak berkuasa negeri sebahagian tanah untuk tujuan awam semasa permohonan untuk pecah sempadan.

Menurut Najib, ia akan membolehkan pihak berkuasa negeri meluluskan permohonan pecah bahagi tanah pertanian yang kurang daripada satu ekar.

0 comments: