Syor hantar guru agama elak dakyah pembangkang

KERAJAAN diminta menambah pegawai dan guru agama di luar negara untuk membantu pelajar menangkis cubaan pembangkang menyelewengkan akidah penuntut Malaysia.

Wakil Kelab Umno Luar Negara, Aminuddin Abd Nasir, berkata kumpulan propembangkang sudah lama menjalankan aktiviti mendekati pelajar baru menerusi senarai nama pelajar yang diperoleh di tanah air.

“Kita hairan bagaimana kumpulan pro pembangkang ini mudah mendapatkan nama pelajar baru sedangkan jika kami meminta senarai daripada kerajaan, lambat pula dikeluarkan,” katanya membahaskan ucapan dasar Presiden Umno.

Aminuddin yang mewakili Kelab Umno Leeds dan Bradford mendedahkan propembangkang bukan saja meracuni fikiran pelajar, malah mengeluarkan fatwa yang jelas bertentangan dengan Islam.

Katanya, golongan berkenaan membawa guru agama untuk dikahwinkan dengan pelajar wanita sebagai tiket untuk menetap dan menjadi pengajar di luar negara.

Beliau berkata, antara fatwa menyeleweng ialah pelajar lelaki yang menjadi pelatih perubatan tidak boleh merawat pesakit wanita dan lelaki serta wanita tidak boleh berkawan, sebaliknya kena berkahwin.

“Lebih menyedihkan pelajar yang terpengaruh ini berkahwin dan membelakangkan keluarga,” katanya.

Beliau turut mendedahkan di sesetengah negara, pelajar yang terpengaruh dengan aktiviti penyeleweng agama sudah mula menyokong parti pembangkang sehingga ada yang enggan berdaftar dengan Kedutaan Malaysia.

“Propembangkang ini meletakkan sasaran pada 2015, lebih 80 peratus pelajar di luar negara menyokong perjuangan mereka,” katanya.

Beliau menyarankan kerajaan menubuhkan Malaysia Hall di negara yang mempunyai ramai penuntut Malaysia bagi meningkatkan hubungan antara pelajar, selain merapatkan hubungan penuntut dengan masyarakat Malaysia di negara berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau turut membabitkan mengenai isu pengiktirafan pengajian Islam dan dana pendidikan untuk penuntut pengajian agama.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan garis panduan untuk memberi pengiktirafan kepada pengajian Islam terutama di Asia Barat supaya mereka dapat memasuki pasaran kerja apabila kembali ke tanah air.

Katanya, dana pendidikan untuk lulusan pengajian Islam juga perlu diselaraskan supaya mereka tidak ketinggalan.

“Kami menyeru yayasan negeri, Baitulmal dan Majlis Agama Islam negeri memberi perhatian kepada perkara ini kerana kebanyakan lulusan agama cemerlang,” katanya.

“Contohnya, Pengerusi Kelab Umno Pakistan, Kamarul Ariffin yang menulis kamus Ar Irsyad dalam empat bahasa, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa Urdu," katanya.

0 comments: