Puteri harap Pak Lah umum pilihan raya hari ini

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Seorang pemimpin Puteri UMNO Kedah hari ini berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pilihan raya umum ke-12 pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO esok.

“Saya rasa Pak Lah akan mengumumkan sesuatu yang mengejutkan petang esok. Kalau pengumuman itu adalah mengenai tarikh pilihan raya umum, saya amat gembira,” kata Syarifah Adawiyah Syed Ismail, Ketua Puteri UMNO Bahagian Alor Star.

Katanya: “Kami telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya sejak setahun lalu.

“Kami sudah tak sabar. Pak Lah umumkan saja, Pak Lah arahkan saja, kami akan terus bekerja.”

Syarifah Adawiyah yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Kedah menyifatkan ucapan dasar Abdullah pada Perhimpunan Agung UMNO semalam sebagai ucapan politik yang terbaik pernah didengarnya.

“Saya sebagai perwakilan yang datang ke PWTC saban tahun nampak kualiti ucapan Presiden UMNO kali ini.

“Kita tahu Pak Lah jenis pemimpin yang lembut, tetapi dalam ucapan itu kita saksikan ketegasannya. Sebagai generasi muda dalam UMNO saya berasa amat bangga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau percaya jika Abdullah mengumumkan pilihan raya umum, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan besar.

“Di Kedah, sejak setahun lalu kita telah pantau sokongan rakyat dan kita nampak mereka benar-benar yakin kepada kerajaan,” kata beliau.

Syarifah Adawiyah berharap Abdullah tidak melengah-lengahkan tarikh pilihan raya kerana sekarang adalah masa terbaik untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

0 comments: