KUALA LUMPUR: Sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2007, petang ini, pasti menarik perhatian umum, terutama 2,522 perwakilan dari 190 bahagian parti itu – sama ada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memberi bayangan mengenai tarikh pilihan raya.
Dalam ucapan dasar selama 80 minit kelmarin bertema ‘Memperkukuh Keyakinan – Meneroka Era Baru’, Presiden Umno langsung tidak menyebut pilihan raya.
Hakikatnya, perhimpunan agung kali ini diadakan dalam suasana menjelang pilihan raya umum ke-12 yang diramal diadakan menjelang awal tahun depan. Justeru, ramai perwakilan yang menyertai perbahasan, turut menyentuh mengenai pilihan raya umum.
"Saya harap Pak Lah menyentuh mengenai pilihan raya dalam ucapan penggulungan itu nanti," kata Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Chik, yang dianggap antara pembahas terbaik ketika membahaskan ucapan dasar Presiden kelmarin dan hakikat ini diakui sebahagian ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.
Bagaimanapun, Ahmad Shabery yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, cuma tersengih ketika disapa ahli MT, Tan Sri Rahim Tamby Chik dengan kata-kata We rated you the best speaker (Kita meletakkan anda sebagai pembahas terbaik) ketika berbual menunggu ketibaan Perdana Menteri untuk majlis pelancaran buku mengenai pengasas Umno, Datuk Onn Ja'afar berjudul Pejuang Terbilang di sebuah hotel berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tengah hari semalam.
Tetapi, Ahmad Shabery berkata, orang Umno perlu lebih bersedia sekarang kerana pilihan raya umum diadakan sebelum pemilihan dalam parti, dan pada masa sama orang Umno hendaklah mengelak menjadi 'vertigo' iaitu penyakit gayat atau takut jatuh di kalangan pemimpin yang sudah lama berkuasa.
Sesetengah perwakilan cuba membaca yang tersirat kandungan ucapan dasar Perdana Menteri itu yang lebih banyak menekankan soal memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dan meminta dihentikan isu sensitif.
berkaitan agama dan kaum serta memperbaharui kerjasama politik melalui semangat berlandaskan perkongsian kuasa secara tulen.
Malah, satu babak dalam ucapannya mengenai usaha mengatasi kebimbangan masyarakat berkaitan kejadian jenayah dalam masyarakat, boleh dikaitkan dengan persiapan untuk pilihan raya supaya rakyat berasa lebih selamat dan selesa.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Presiden parti mungkin membiarkan orang ramai berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya kerana mahu semua ahli parti bersiap sedia.
"Pak Lah tidak menyentuh pilihan raya mungkin kerana mahu menumpukan kepada perkara lain untuk membantu rakyat. Ucapannya cukup padat dan berkesan," katanya.
Ucapan Perdana Menteri boleh dianggap sarat mesej penting yang perlu direnungi rakyat pelbagai kaum bagi memperkukuhkan BN, selain memberi keyakinan dan menekankan semangat kongsi kuasa.
serta jaminan bahawa Umno tidak akan melanggar janji kemerdekaan.
Penekanan kepada aspek membasmi kemiskinan yang terus dijadikan antara agenda utama Perdana Menteri, kini akan dijadikan Indeks Petunjuk Utama (KPI) kepada semua wakil rakyat BN.
Abdullah yang juga Pengerusi BN, mahu wakil rakyat diwajib meletakkan keutamaan kepada agenda kemiskinan, menjadikan kejayaan membasmikan kemiskinan sebagai petunjuk utama prestasi mereka di kawasan masing-masing.
Apakah ini juga bermakna kegagalan wakil rakyat menangani masalah kemiskinan di kawasan mereka memungkinkannya digugur sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) nanti?
Seperti kata Perdana Menteri, negara tidak akan tenteram jika rakyat miskin masih ramai. Kemiskinan punca ketidakstabilan politik, demonstrasi jalanan, kadar jenayah tinggi dan masalah sosial.
Nescaya, perhimpunan kali ini dilihat penting bagi memperkukuhkan perpaduan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya itu, selain meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun akan datang.
0 comments:
Post a Comment