Fri | Nov 09, 07 | 9:11:16 am MYT
KUBANG PASU, 9 Nov (Hrkh) - Beratus keping cakera padat (VCD) tertera lambang BERSIH tetapi isinya adalah rakaman cercaan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim; dan dakwaan kononnya Himpunan Aman Seratus Ribu Rakyat 10 November di Dataran Merdeka adalah anjuran Interfaith Council (IFC) ditemui dalam kotak di salah sebuah masjid di Changlun.
Beberapa penduduk kampung yang melihat kelibat orang yang meletakkan kotak tersebut memberitahu, mereka mengenali salah seorang yang melakukan kerja jahat tersebut.
"Dia tak boleh lari, kami kenal siapa lelaki itu," dakwa mereka.
Tindakan itu menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu, Ustaz Yusuf Ahmad adalah untuk mengelirukan orang ramai terhadap peranan dan gerak kerja Bersih.
"Kita yakin perbuatan ini dilakukan oleh mereka yang terdesak dan takut dengan gelombang rakyat yang akan beramai-ramai hadir dalam himpunan aman 10 November ini di Kuala Lumpur," tegas beliau.
Sementara itu, sejak tengahari tadi (8 November), berpuluh sekatan jalan raya diadakan di bandaraya ini dan lebih memelikkan sekatan juga diadakan hampir di setiap jalan masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan termasuk di Tandop dan Pendang yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ramai yang beranggapan tindakan mengadakan sekatan ini adalah sebagai 'bayangan awal' suasana di ibu kota menjelang Sabtu ini bertujuan menakutkan rakyat untuk hadir ke Himpunan Aman Seratus Ribu Rakyat di Dataran Merdeka, Sabtu ini.
Dalam satu perkembangan berasingan, seorang ahli Pemuda PAS cuba digertak dan ditahan dalam sekatan tersebut, bagaimanapun apabila diajukan beberapa soalan, polis tersebut terpaku kerana tiada hujah.
"Apa salah bawa pelekat Himpunan Seratus Ribu Rakyat, apa hak encik nak rampas, ini hak saya," demikian tegas salah seorang pemuda apabila polis cuba merampas pelekat Himpunan Aman 10 November ini ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Telok Wanjah, dekat sini.
Pemuda yang menemui Harakahdaily petang tadi turut memberitahu, anggota polis berkenaan turut mengugut dia akan ditahan di lokap polis kerana 'banyak cakap'.
"Saya bukan melawan dengan polis berkenaan, saya cuma tanya apa hak polis untuk merampas sticker itu; dan mengikut undang-undang mana yang menyatakan saya tidak boleh bawa sticker itu, bagaimanapun dia tak boleh jawab," cerita beliau.
Koordinator Bersih di Kedah, Mohd. Nasir Mustafa memberitahu pihaknya menjangkakan lebih sepuluh ribu peserta dari negeri ini akan membanjiri Dataran Merdeka nanti.
Katanya, sehingga 8 Oktober, hampir sepuluh ribu ahli PAS yang sudah mendaftarkan diri untuk hadir ke perhimpunan aman tersebut, ia turut mendapat sambutan dari ahli parti KeADILan, NGO serta masyarakat Cina dan India dari seluruh negeri Kedah.
Beliau memberitahu, jumlah tersebut dijangka bertambah jika mengambil kira jumlah t-shirt Bersih (kuning) yang berjaya di jual di negeri ini. /tajdid
0 comments:
Post a Comment