DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu ahli Umno mencontohi semangat perjuangan dan nasionalisme pengasas parti itu, Datuk Onn Jaafar yang ketika hayatnya menjadi pemimpin Melayu ulung dan terbilang.
Presiden Umno berkata, ketika hayatnya, Allahyarham memperlihatkan ciri-ciri perjuangan mulia dan ikhlas yang perlu menjadi contoh serta teladan kepada bukan saja ahli Umno, malah orang Melayu secara keseluruhan.
Beliau berkata, Datuk Onn adalah pemimpin Melayu pertama mencetuskan gerakan nasional menyatukan semua kaum termasuk Bugis dan Aceh untuk menentang penubuhan Malayan Union dan menyelamatkan Tanah Melayu daripada menjadi tanah jajahan British.
"Perjuangan beliau harus menjadi kebanggaan kita. Beliau telah menyatukan kita semua sehingga melahirkan masyarakat Melayu yang berwibawa. Hasil perjuangan beliau berjaya mengangkat maruah bangsa, agama dan negara.
"Dengan mengingati Datuk Onn, saya berharap Insya-Allah akan melahirkan pewaris bangsa yang mencontohi perjuangan yang beliau telah pelopori," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan buku Onn Ja'afar Pejuang Terbilang Pengasas Sebuah Negara Bangsa yang dihasilkan Badan Perhubungan Umno Johor sempena Perhimpunan Agung Umno 2007, semalam.
Abdullah berkata, Datuk Onn memperlihatkan ciri-ciri bukan saja kecemerlangan, malah pemimpin bangsa yang terbilang.
Katanya, Allahyarham adalah wira bangsa, memiliki semangat tinggi dan keberaniannya tiada tolok banding dalam menentang dasar British.
"Buku yang dilahirkan ini akan menjadi rujukan berguna untuk generasi muda bangsa supaya dapat sama-sama menghayati segala pahit maung perjuangan pejuang bangsa terbilang.
"Mudah-mudahan generasi muda kita akan dapat mencontohi perjuangan beliau supaya menjadikan masyarakat kita lebih bersatu dan berjaya," katanya.
Beliau berkata, orang Melayu perlu sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada Datuk Onn kerana menubuhkan Umno yang masih kukuh sehingga hari ini dan terus menjadi tonggak kerajaan selepas 50 tahun negara merdeka.
Kepada Umno Johor, beliau mengucapkan tahniah kerana berjaya menghasilkan sebuah buku yang tinggi nilai sejarahnya itu.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata penerbitan buku itu bukan saja membolehkan rakyat memahami perjuangan dan pengorbanan Allahyarham terhadap agama, bangsa dan negara, malah membolehkan rakyat melihat peribadi tokoh pemimpin terbilang dengan lebih dekat lagi.
Katanya, Datuk Onn bukan saja pengasas Umno, malah lebih jauh daripada itu, seorang pemimpin yang kuat memperjuangkan kepentingan Melayu, hak Raja-raja Melayu, agama Islam, kebudayaan Melayu, ekonomi orang Melayu dan pendidikan Melayu.
"Kita tidak seharusnya mudah lupa bahawa Datuk Onn adalah seorang pemikir, seorang pengkritik sosial dan reformis yang meletakkan asas kenegaraan yang kukuh.
Pengarang buku berkenaan, Fadzil Abdullah berkata, penghasilannya mengambil masa dua setengah tahun dengan kajian dan pengumpulan bahan bukan saja dari seluruh pelosok negara, malah dari Singapura dan London.
Sejarah dan peristiwa kehidupan Datuk Onn dimuatkan dan terkandung dalam 18 bab melebihi 100 muka surat, dipersembahkan dalam bentuk edisi khas bergambar. Ia dijual RM120 senaskhah.
0 comments:
Post a Comment