Syor tubuh badan khas atasi ketirisan

UMNO Perak mahu kerajaan mewujudkan Badan Pencegah Ketirisan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menangani masalah ketirisan dalam pengagihan kekayaan negara kepada Bumiputera.

Wakilnya, Datuk Saarani Mohamad, berkata pada masa sama Unit Penyertaan Bumiputera di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu diwujudkan semula bagi meningkatkan pembabitan usahawan Melayu yang jauh ketinggalan berbanding usahawan bukan Melayu.

"Walaupun pelbagai dasar sudah digubal, pelbagai kaedah sudah dicuba dan pelbagai bantuan diberi, kita belum berjaya mencapai apa yang kita hajati. Tentu ada sebabnya. Jika ia dianggap penyakit tentulah ada ubatnya dan jika dianggap masalah tentulah ada penyelesaiannya.

"Ia adalah sebahagian daripada karenah yang menyumbang kepada kegagalan pencapai ekonomi Melayu. Jika dibiarkan gejala ini berterusan, maka kita akan terus ketinggalan dan kehilangan kuasa ekonomi," katanya berucap mencadangkan usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Cadangan lain ialah:

l Mewujudkan indeks pencapaian Melayu dalam ekonomi,

l Memastikan dasar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejajar Agenda Melayu

lMelantik profesional Melayu mengisi jawatan peringkat menengah dan tinggi dalam GLC

l Menggantikan peneraju GLC yang gagal memenuhi harapan Melayu

Saarani yang juga Ketua Umno bahagian Lenggong berkata, Umno yang menguasai portfolio penting berkaitan ekonomi dalam barisan Kabinet sekarang mesti mengambil langkah berani untuk menjamin penguasaan Melayu dalam ekonomi untuk fasa 50 tahun akan datang selepas kegagalan mencapai matlamat itu selama 50 tahun merdeka.

Sambil merujuk perangkaan yang menunjukkan pencapaian ekonomi Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum lain, beliau berkata Umno perlu insaf dan sedar kedudukan sebenar orang Melayu sekarang apabila membuat perancangan bagi memperbetulkan keadaan pada masa depan.

"Orang tua kita pernah berkata 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia, tetapi Melayu macam mana? Di mana tempat tinggal mereka? Apa pekerjaan dan status ekonomi dan pencapaian pendidikan mereka? Maka Umno Perak mahu mengubah slogan ini kepada ‘Melayu Takkan Kehilangan Dunia’.

"Justeru, orang Melayu dalam fasa 50 tahun akan datang bukan saja mesti terus memerintah di bumi bertuah ini tetapi mesti juga menguasai kekayaan ekonomi dan bijak pandai yang dihormati.

"Dalam erti kata lain akan menjadi sia-sia perjuangan kita selama ini jika dalam 50 tahun akan datang orang Melayu hilang jati diri, tenggelam semangat juang, melarat hidupnya, sengsara keadaannya akibat kehilangan kekayaan ekonomi dan berada pada status pendidikan yang amat rendah pencapaiannya," katanya.

Menyentuh aspek pendidikan, Saarani berkata sistem pendidikan negara mesti mampu melahirkan graduan Melayu yang memiliki dan berupaya menggunakan ilmu dan kemahiran untuk diri, keluarga dan bangsanya.

Pada masa sama, guru dan tenaga pengajar perlu dipastikan berkaliber untuk membimbing dan mendidik anak bangsa menjadi Melayu Unggul yang akan meneruskan perjuangan bangsa.

"Sistem pendidikan kita dikira gagal jika berjaya melahirkan graduan Melayu dalam pengurusan perniagaan tetapi mereka gagal membantu menambah bilangan ahli perniagaan Melayu. Kita juga dikira gagal jika ramai pemegang ijazah pertanian gagal membantu meningkatkan kekayaan Melayu dalam bidang pertanian dan industri asas tani," katanya.

0 comments: