Puteri mahu Umno kuasai ekuiti koridor

PUTERI Umno menyarankan supaya Umno menjadi pemegang ekuiti terbesar di setiap koridor pembangunan ekonomi bagi memastikan orang Melayu tidak terpinggir, seterusnya dapat memperkasa ekonomi bangsa Melayu.

Wakil Puteri Umno, Norlaili Mohamed, berkata pemegang ekuiti itu pula mesti terdiri daripada ahli Umno yang benar-benar sayangkan bangsa tanpa perlu dipersoalkan kesetiaannya kepada parti dan keikhlasannya membantu bangsa sendiri.

"Puteri tidak mahu projek mega yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mewujudkan jurang ekonomi yang terlalu besar antara Melayu dengan bangsa lain, terutama orang luar.

"Kita juga tidak mahu melihat bangsa Melayu terpinggir, terutama selepas pembinaan semua wilayah pembangunan koridor," katanya ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan.

Beliau juga mencadangkan supaya syarikat yang beroperasi dalam koridor pembangunan ekonomi diwajibkan mengambil pelajar tempatan, terutama pelajar Melayu serta diambil menjalankan latihan praktikal di syarikat berkenaan.

"Ini adalah untuk mendedahkan graduan Melayu mengenai kemahiran serta cara pengoperasian syarikat bertaraf antarabangsa yang ada dalam wilayah pembangunan terbabit," katanya.

Norlaili juga menyarankan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diberi peranan dalam koridor pembangunan ekonomi kerana ada antara mereka yang sudah berjaya menjadi profesional seperti akauntan, peguam, pakar ekonomi, usahawan dan pentadbir berjaya.

Beliau berkata, Puteri tidak mahu melihat syarikat dalam Koridor Pembangunan Ekonomi mengimport lebih banyak tenaga buruh dan tenaga profesional dari luar.

"Pekerja mahir dari luar ada yang lebih murah, tapi percayalah jika kita mengimport pekerja asing kita bukan saja membawa masuk orang luar ke dalam negara malah kita sebenarnya turut mengimport 1,001 masalah sosial," katanya.

Norlaili yang juga Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar Puteri Umno menyeru graduan agar tidak menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir.

"Sekarang ramai graduan lepasan ijazah yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kerana kurang yakin untuk bersaing dalam pasaran kerja.

"Jangan memperlekehkan kerjaya guru kerana tugas sebagai pendidik bukanlah mudah, tapi tanggungjawab yang dipikul sama beratnya dengan profesional lain," katanya.

0 comments: