Himpunan 10 November - Jangan gusar dengan gertak polis

Intan Abdullah
Fri | Nov 09, 07 | 3:07:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi menyekat kebangkitan rakyat menerusi Perhimpunan Aman Rakyat esok, namun ia tetap akan diteruskan juga.

Pengerusi Perhimpunan Aman Rakyat Bersih, Mohamad Sabu, meminta orang ramai bertenang dan tidak sesekali gusar dengan ancaman serta gertakan pihak-pihak yang tidak senang hati dengan program tersebut.

Menurutnya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, Bersih mengambil inisiatif mengeluarkan beberapa panduan kepada orang ramai yang akan turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka esok.

Mereka dinasihati agar menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan diri dari kesesakan lalu lintas.

Sekiranya menggunakan kenderaan sendiri, mereka boleh meletakkan kenderaan mereka seperti berikut :

Dari Selatan : digalakkan meletakkan kenderaan mereka di stesen Star LRT Bukit Jalil dan turun di Masjid Jamek.

Dari Utara : Digalakkan meletakkan kenderaan di stesen komuter Rawang dan turun di stesen Kuala Lumpur.

Dari Timur : digalakkan meletakkan kenderaan mereka di stesen Putra LRT Gombak dan turun di stesen Masjid Jamek.

Bagi yang khuatir cuaca hujan mereka tidak digalakkan membawa payung sebaliknya membawa baju hujan serta topi berwarna kuning.

Selain membawa bekalan air minuman, mereka juga digalakkan membawa sebarang alat rakaman seperti kamera dan kamera video bagi merakamkan peristiwa bersejarah ini.

Orang ramai tidak digalakkan membawa sebarang objek tajam dan membahayakan tetapi membawa kain rentang yang menjurus kepada tuntutan Bersih, bendera Malaysia serta kain kuning yang boleh dikibarkan.

Sementara itu, Bersih juga dimaklumkan mengenai penyertaan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia dalam perhimpunan tersebut.

Pergerakan ini akan bermula di Dataran Merdeka dan kemudiannya berarak menuju ke Istana Negara dengan menggunakan jalan bersebelahan dan terus menuju ke Istana Negara.

Ia akan diakhiri dengan upacara pelepasan belon di perkarangan Istana Negara pada jam 5 petang selepas penyerahan memorandum kepada Yang diPertuan Agong selesai dijalankan.

Bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang dan tidak berkesempatan untuk menyertai himpunan tersebut boleh mengikutinya yang akan disiarkan secara langsung menerusi web tv www.webtv.pas.org.my, www. kelantan.tv, dan www.tvpas.com. - mr


0 comments: