Fri | Nov 09, 07 | 12:27:24 pm MYT
KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Polis jangan jadi golongan yang "buta dan pekak" terhadap undang-undang dan segala keputusan mahkamah yang menjelaskan bahwa hak berhimpun telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dan hak terebut hendaklah dihormati.
Ia adalah kenyataan Pengerusi Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS, Mohamad Hanipa Maidin yang dibacakan oleh wakil Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat, Aiman Athirah dalam satu sidang media yang diadakan di Dataran Merdeka sebelum program konvoi kempen perhimpunan Aman Rakyat petang semalam.
Ujarnya, pihak polis tidak seharusnya menolak permohonan permit yang dipohon oleh Bersih hanya bersandarkan kepada spekulasi.
Tegasnya, alasan bahawa perhimpuan yang belum berlaku pada 10 November ini akan mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam adalah bersifat spekulatif dan polis tidak wajar bertindak sebagai pak nujum dalam perkara ini
"Rakyat menghormati polis yang profesional bukan polis bertindak seperti Pak Nujum Belalang berasaskan anggapan Ketua Polis Daerah Dang Wangi (OCPD) dalam kes ini menolak permit yang dipohon oleh Bersih maka Bersih diberi hak di bawah Akta Polis 1967 untuk merayu kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Zulhasnan Najib atas keputusan OCPD tersebut."
Oleh yang demikian, Hanipa menyelar tindakan Zulhasnan yang baginya tidak seharusnya membuat apa-apa kenyataan jauh sekali mengeluarkan amaran kerana beliau seharusnya menilai rayuan Bersih tanpa sebarang unsur prejudis dan sikap berat sebelah.
"Persoalannya, dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab tersebut, bagaimanakah beliau boleh bertindak secara rasional, objektif dan tidak memihak dalam meneliti dan memproses rayuan Bersih untuk mendapatkan permit," tegasnya.
Pada akhir kenyataan tersebut, Hanipa menyeru agar rakyat meneruskan himpunan tanpa rasa takut dengan gertakan polis atau mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ini adalah kerana kita tidak berhajat untuk melawan sesiapa esok dan buktikan bahawa kita adalah rakyat yang cintakan kedamaian dan keamanan meskipun berhimpun seramai 100,000 di jalan raya," demikian katanya.
Dalam pada itu, kelihatan tiga buah kereta peronda polis berkeliaran di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad serta polis-polis cawangan khas atau lebih dikenali sebagai SB giat menjalankan kerja mereka di samping kehadiran wartawan lain yang sibuk membuat tinjauan
Ini termasuk pasukan berkuda penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan anggota polis bermotorsikal yang meninjau lokasi permulaan program konvoi tersebut diadakan.
Pada sekitar jam 4 petang, kira-kira 11 buah kereta yang menyertai konvoi bergerak mengelilingi bandaraya Kuala Lumpur, selepas diarahkan oleh pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, yang dikenali sebagai Ng, yang mengarahkan peserta konvoi beredar.
Jelas Ng, pihak polis tidak menyekat konvoi tersebut dijalankan, sebaliknya akan bertindak untuk menyekat mereka yang terlibat dengan konvoi tersebut jika mereka mengadakan aktiviti berhimpun di mana-mana kawasan.
Sementara itu, Aiman berkata tujuan konvoi tersebut diadakan adalah sempena kempen hebahan dan penyertaan himpunan rakyat yang akan diadakan esok
Setakat ini, ujarnya meskipun berdepan dengan pelbagai sekatan dan tekanan daripada pelbagai pihak yang berusaha untuk menggagalkan perhimpunan tersebut, namun pihak Bersih optimis terhadap kerjasama dan bantuan yang akan disalurkan pihak polis bagi memastikan perhimpunan esok berlangsung dengan aman.
Dalam pada itu ribuan anggota sukarela parti-parti pembangkang serta 600 individu lain dikatakan telah ditugaskan untuk mengawal ketenteraman dan keselamatan sewaktu perhimpunan esok.
Mereka termasuklah dari Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John's Ambulance.
Majlis Peguam, Suruhanjaya Suhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan beberapa anggota Parlimen dari Kanada juga dikatakan telah bersetuju untuk menghantar wakil masing-masing untuk memantau perhimpunan tersebut. - mr
0 comments:
Post a Comment