Bersih mahu teruskan perhimpunan, rayu kerjasama polis

Malaysiakini
Fri | Nov 09, 07 | 9:09:39 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Bersih - gabungan 67 badan bukan kerajaan dan parti-parti pembangkang - merayu kepada polis untuk mendapatkan bantuan dan kerjasama sewaktu mengadakan perhimpunan awam yang dirancang di Dataran Merdeka Sabtu ini.

Malaysiakini.com dalam laporannya menyebut perhimpunan itu diadakan untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil, sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mengenainya. Ia dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 orang, walaupun pihak penganjur gagal mendapatkan permit polis.

ImageDalam satu kenyataan daripada pengerusi penganjur perhimpunan itu, Mohamad Sabu, berkata Bersih akan mengambil semua langkah-langkah perlu untuk memastikan perhimpunan diadakan dengan selamat dan aman serta menjemput orang ramai mengambil bahagian.

Dalam kenyataan yang dibaca oleh anggota sekretariat Bersih, Aiman Athirah Al Jundi, Mohamad berkata orang ramai tidak perlu takut terhadap ancaman oleh pihak polis dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang lain.

Beliau berkata, pihaknya tidak berniat untuk bertembung dengan sesiapa juga, apatah lagi dengan polis "kerana kita telah buktikan bahawa kita adalah orang yang cintakan keamanan".

Konvoi publisiti

ImageKenyataan itu dibaca kepada pemberita di Dataran Merdeka petang semalam sebelum pelancaran konvoi 10 kenderaan yang akan mengelilingi Kuala Lumpur untuk menghebahkan tentang perhimpunan tersebut.

Ribuan anggota sukarela PAS, PKR, dan DAP - serta 600 individu lain - dikatakan telah ditugaskan untuk mengawal ketenteraman dan keselamatan sewaktu perhimpunan tersebut Sabtu ini.

Mereka termasuklah dari Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John’s Ambulance.

Majlis Peguam, Suruhanjaya Suhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan beberapa anggota Parlimen dari Kanada juga dikatakan telah bersetuju untuk menghantar wakil masing-masing untuk memantau perhimpunan tersebut.

Mereka yang datang menyertai perhimpunan tersebut dinasihatkan supaya tidak membawa sebarang ojek yang boleh dianggap sebagai senjata merbahaya, termasuk payung, kata Aiman.

Beliau menegaskan bahawa ia bukanlah perhimpunan PAS atau PKR atau DAP, tetapi perhimpunan rakyat yang mahukan pilihanraya yang bersih dan adil.

Ditanya persediaan pihak penganjur sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini atau bertembung dengan pihak polis, beliau mengulangi bahawa Bersih yakin ia akan berjalan secara aman.

Tiada pilihan

Awal pagi semalam, Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga menggesa pihak berkuasa supaya menghormati hak untuk mengadakan perhimpunan aman dan hak bersuara dengan membenarkan perhimpunan itu diadakan tanpa sebarang masalah.

Beliau mengkritik pihak polis menolak permohonan Bersih untuk mendapatkan permit hanya "atas alasan teknikal".

Amaran polis

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Zulhasnan Najib Baharuddin memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka itu Sabtu ini.

Bercakap dalam sidang akhbar semalam, beliau sekali lagi menegaskan bahawa penganjur perhimpunan itu tidak mendapat permit, dan jika diadakan juga, ia merupakan satu perhimpunan haram.

Zulhasnan mengingatkan orang ramai bahawa mereka yang menyertainya adalah melanggarkan Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana menyertai perhimpunan haram.

Beliau menegaskan mereka berdepan dengan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan sehingga setahun penjara.

Menurut Zulhasnan lagi, jalan-jalan di sekitar kawasan berkenaan akan ditutup dan polis akan mengadakan sekatan jalanraya untuk menghalang perhimpunan diadakan.

Beliau juga mengingatkan mereka dari negeri-negeri lain supaya jangan datang ke Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

Katanya, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abd Rahman menerima permohonan Bersih pada 3 November, tetapi polis telah menolaknya pada 6 November.

Ditanya mengenai sebab permohonan itu ditolak, Zulhasnan berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Ditanya sama ada polis daerah Dang Wangi telah menerima arahan dari Musa supaya menolak permohonan permit tersebut, Zulhasnan berkata ia terpulang kepada budibicara Zulkarnian.

Ditanya mengapa balai polis Dang Wangi mengeluarkan permit untuk perhimpunan kepada pelbagai kumpulan sewaktu sidang puncak Asean Julai lalu, Zulhasnan berkata, polis membuat keputusan berdasar kepada kes demi kes.

Julai lalu, balai polis Dang Wangi mengeluarkan permit, termasuk kepada badan-badan yang tidakpun memohonnya, untuk mengadakan demonstrasi sempena lawatan Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice’s.

Antara demonstrasi terbesar adalah anjuran Pemuda Umno dan diadakan berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur tempat Rice menghadapi satu majlis.

Zulhasnan berkata, Bersih mempunyai 48 jam untuk merayu terhadap keputusan polis itu, mengikut Seksyen 27 Akta Polis.

0 comments: