"Esok, himpunan 10 Nov, saya tetap akan turun"

Anwar Ibrahim
Fri | Nov 09, 07 | 6:02:08 am MYT

Suara rakyat akan kembali ke Dataran Merdeka Sabtu ini apabila puluhan ribu rakyat Malaysia akan melaksanakan hak demokratik meeka untuk berhimpun secara aman menuntut perubahan sistem pilihan raya negara.

Desakan kami kepada kerajaan untuk melaksanakan perubahan ini tidak diendahkan. Mereka telah mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan institusi demokrasi di negara kita dapat berfungsi dengan baik. Maka rakyat Malaysia menuntut Raja-Raja Melayu untuk memastikan kerajaan Malaysia melaksanakan amalan asas bagi pilihan raya yang telus dan adil sebagaimana dilaksanakan di demokrasi moden di seluruh dunia.

Bukti penipuan cukup jelas dan lengkap. Skandal kehakiman terbaru membabitkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz menunjukkan seluruh jentera kerajaan telah disalahgunakan untuk melindungi dan memelihara kedudukan pimpinan Umno.

Media bebas telah menerbitkan analisis yang cukup mendalam tentang kesan penipuan termasuk penggunaan pengundi hantu dan tekanan terhadap pengundi. Seramai 40,000 undi haram telah dikenal pasti di Selangor sahaja bagi Pilihan Raya Umum 2004. Dalam 12 bulan kebelakangan ini, kami mempunyai bukti bagaimana pengundi yang dikira menyokong pembangkang dipindahkan keluar dari daerah-daerah di mana sokongan Umno lemah.

Jika Suruhanjaya Pilihan Raya yakin dengan ketelusan pengurusan pilihan raya, mengapa mereka tidak membenarkan pemantau antarabangsa untuk masuk ke negara bagi memerhati dan melaporkan proses pilihan raya kita? Mengapakah tawaran kerjasama oleh badan antarabangsa dan serantau tidak diendahkan atau ditolak?

Saya mendesak pihak berkuasa untuk menghormati hak rakyat unuk berhimpun secara aman.

Saya mengalu-alukan inisiatif Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) kerana menganjurkan perhimpunan aman ini dan saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam acara bersejarah ini. Rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah kerajan demokratik yang boleh dibanggakan dan kita mesti bersedia untuk berjuang mencapai matlamat tersebut.


0 comments: