Fri | Nov 09, 07 | 12:39:32 pm MYT
KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Belumpun himpunan 10 November berjalan, namun desas-desus dan kenyataan amaran telah pun dikeluarkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan untuk mengerahkan 4000 anggota polis menyekat himpunan aman esok.
Berang dengan kenyataan Musa Hassan itu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mengecam tindakan itu yang dianggap sebagai rela dipergunakan oleh kerajaan bukan untuk kepentingan rakyat.
Sebaliknya ia adalah kenyataan yang lahir dari semacam arahan yang disampaikan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang disifatkan sebagai 'remote control' kepada pihak berkuasa melalui Himpunan Agung Umno 2007, kata Mahfuz.
"Kita kecewa wang rakyat dibazirkan semata-mata untuk mengerah 4000 anggota polis untuk menyekat himpunan rakyat esok.Himpunan esok bukanlah himpunan politik tetapi ia suara rakyat yang mahukan reformasi dalam sistem pilihan raya di negara ini yang nyata menipu," katanya.
Sebagai pihak yang menjaga soal keselamatan rakyat awam, KPN seharusnya membenarkan himpunan ini malah menyokongnya bagi melihat satu desakan kepada pihak tertentu memperbaiki perjalanan pilihan raya, katanya.
KPN seharusnya mengerahkan anggotanya untuk menyelesaikan soal peningkatan jenayah yang membimbangkan yang berlaku hari ini.
Begitupun dengan kenyataan ini KPN dilihat seolah-olah menjadikan rakyat yang akan berhimpun esok sebagai penjenayah sedangkan rakyat yang berhimpun esok bukanlah penjenayah atau yang berkawan dengan penjenayah yang dilindungi pihak tertentu, katanya.
Bagi Mahfuz proses pilihan raya yang bersih sahaja boleh menentukan sesuatu kerajaan itu dipilih rakyat secara adil dan saksama, katanya.
Tidak kiralah samada kerajaan yang akan dipilih rakyat itu adalah kerajaan Umno, tetapi apa yang penting ialah perjalanannya mestilah secara adil, bersih dan saksama, ujarnya.
"Bukan seperti sekarang ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diperlakukan oleh kerajaan untuk menipu rakyat bagi mengekalkan kuasa Umno/BN untuk terus memerintah negara," katanya.
Mahfuz sekali lagi memberi nasihat dan amaran kepada Musa Hassan agar tidak dipergunakan oleh Umno/BN semata-mata untuk menutup suara rakyat bagi bebas berhimpun menyatakan kemarahan mereka.
Sebaliknya polis perlu bersetuju dengan himpunan ini yang hanya bertujuan untuk memperbetulkan perjalanan pilihan raya yang tempang, katanya.
0 comments:
Post a Comment