Foto individu tertentu boleh dilihat dalam baki klip 'Pita Lingam' ?

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 09, 07 | 9:01:18 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Kenyataan terkini Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan mendedahkan bahagian ketiga selepas mendedahkan hanya sembilan saat bahagian kedua mengenai 'Pita Lingam' ternyata boleh menggerunkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) berhadapan Pilihan Raya Umum akan datang.

Tersentak dengan itu Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak segera menyatakan bahawa panel bebas khas yang telah melengkapkan laporannya mengenai kesahihan rakaman klip video perbualan mengenai pelantikan hakim boleh bermesyuarat semula, sekiranya ada perkembangan baru dalam kes itu.

Najib berkata walaupun laporan berkenaan telah siap, panel itu masih boleh meneliti semula bukti terkini mengenai rakaman perbualan seorang peguam kononnya dengan seorang hakim itu pada tahun 2002.

"Apa pun kami serahkan kepada panel itu untuk memutuskannya, biar panel itu melihatnya dulu, tetapi jika ada yang baru, panel itu boleh menimbangkannya, mereka masih boleh bermesyuarat lagi," katanya dalam satu laporan akhbar versi online semalam.

Sebelum ini dalam satu taklimat antara beberapa anggota kepimpinan PAS dengan KeADILan di Pejabat Agung PAS baru-baru ini sumber menyatakan ada membincangkan mengenai baki dalam rakaman 'Pita Lingam'.

Sumber berkata, pita seterusnya itu lebih menggemparkan dimana nama-nama individu tertentu secara jelas disebut dan kelibat beberapa orang ternama juga dapat dilihat dalam klip video itu.

Sumber berkata, rakaman enam minit lagi tidak dapat disiarkan buat sementara kerana ia mengandungi foto individu-individu lain di dalam bilik Lingam sedang bercakap melalui telefon yang dijangka boleh menjejaskan mereka selepas ini.

Dakwa sumber, dalam perbualan Lingam itu ada menjanjikan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Besar Mahkamah Malaya di samping itu, ia juga adalah satu usaha untuk melanjutkan usia persaraan hakim.

Sumber menyatakan, mereka mencadangkan enam nama calon untuk mahkamah rayuan.

"Kesan pendedahan pita rakaman ini ialah penglibatan Tan Sri Haidar Mohd Noor yang dilantik sebagai Pengerusi Panel Bebas siasatan awam kes pita lingam ini yang sebelum ini turut berperanan untuk menutup beberapa salah laku kehakiman yakni korupsi dalam kerajaan," kata sumber.

Pengaruh rasuah juga dilihat lebih menular pada zaman Tun Fairus Sheikh Abdul Halim menjadi Ketua Hakim Negara dan era pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, kata sumber memetik kepada inti perbualan dalam taklimat itu.

"Nama Menteri Pelancongan, Tengku Adnan Tengku Mansor juga disebut-sebut antara watak utama yang merancang untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Tengku Adnan pernah berperanan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan pada ketika itu Lingam adalah peguam yang terlibat dalam kes Air Molek. Mereka ini juga turut terlibat dengan kes Eric Chia,"kata sumber.

Pembongkaran ini berlaku setelah lima tahun apabila terdapat krisis yang dialami oleh pihak yang mendedahkan pita rakaman ini dengan Lingam

Dalam sidang medianya semalam, Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menayangkan bahagian kedua klip video selama 9 saat mengenai perbualan itu kepada media di pejabatnya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Anwar dikatakan akan menayangkan bahagian ketiga klip video itu kepada media tidak lama lagi. Tempoh klip video penuh itu didakwa sepanjang 14 minit 16 saat.

Panel bebas yang diketuai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dua anggota panel iaitu aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar telah menyiapkan laporan mengenai kesahihan rakaman video itu.

Laporan itu dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat.

0 comments: