Kontroversi Kayveas tidak jejaskan perpaduan PPP

BUKIT MERTAJAM 8 Nov. – Perang mulut membabitkan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M. Kayveas dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tidak menjejaskan perpaduan PPP.

Pengerusi PPP Pulau Pinang, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, kelantangan Kayveas dalam menangani pelbagai isu terutamanya membabitkan kepentingan PPP berjaya meningkatkan populariti pemimpin itu di kalangan ahli parti berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menafikan cakap-cakap yang mengatakan ramai pengikut PPP khususnya di Taiping, Perak yang didakwa bertindak keluar parti dan menyertai MIC kerana kecewa dengan kepimpinan Kayveas.

“Bagi saya perang mulut itu tidak lebih dari sekadar pertengkaran politik dan saya tidak melihat ia menjejaskan perpaduan di kalangan ahli PPP,” tegasnya.

Dr. Loga yang juga Ahli Mesyuarat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Deepavali anjuran beliau di kediamannya di Taman Bukit di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung berbilang kaum itu turut dihadiri, Ketua Menteri, Tan Sri. Dr. Koh Tsu Koon dan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN negeri.

Kayveas dan Samy Vellu baru-baru ini, menarik perhatian umum apabila saling mengeluarkan kritikan keras termasuk isu cadangan MIC untuk mengemukakan usul kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya PPP disingkirkan daripada pakatan BN.

0 comments: