Perhimpunan Agung Umno suram, ucapan Abdullah tawar - Kamarudin

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 09, 07 | 12:11:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar menyifatkan Perhimpunan Agung Umno 2007 yang diadakan sejak 5 November lalu sebagai himpunan "yang suram, lembap dan tiada arus yang menyegarkan rakyat".

Malah ia ditambah dengan ucapan dasar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tiada isi tawar dan tidak menamppakkan idea baru.

"Ucapan Dasar Abdullah tiada mesej besar yang baru, cuma mengulangi retorik pencapaiannya dan mengulangi semula soal Islam Hadhari sahaja," jelasnya semasa ditemui di Pejabat Agung PAS dalam sesi wawancara Harakah bersamanya hari ini.

Katanya lagi, Abdullah hanya menyentuh soal Islam Hadhari yang sering menjadi mainan dibibir Presiden Umno itu semata-mata untuk memperlihatkan imej baik kononnya kepada rakyat.

Sebaliknya ianya hanya mengulangi retoriknya sahaja pada himpunan tahun 2004 yang mana ketika itu faktor Abdullah memberi kelebihan pada Umno.

Mengulas lanjut beliau berkata, ucapan Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak nyata menggunakan kesempatan atas isu Angkasawan Malaysia untuk menawan hati rakyat.

Walhal, katanya, isi kepada ucapan itu tidak kreatif dan tiada tawaran kepada rakyat dalam membangunkan ekonomi, akhlak dan kehidupan rakyat.

Umno mula bergolak soal pemilihan jawatan tahun 2008

Ini kerana katanya, apa yang berlaku dalam Umno itu sendiri adalah satu macam pergolakan yang sedang bertiup memandangkan pemilihan jawatan dalam parti akan berlansung pada tahun 2008.

Malah di peringkat pemimpin bahagian, dan tertentu mereka sedang mencongak kedudukan samada akan terpilih untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang selain mencongak kedudukan untuk pemilihan jawatan parti, katanya.

Isu pemilihan ini biasanya akan mencetus suasana yang tidak selesa dalam Umno, oleh itu keterdesakan ini menyebabkan Presidennya mula berkira-kira untuk mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Bahang dari pemilihan peringkat parti boleh merosakkan persediaan mereka menghadapi pilihan raya, malah suasana ekonomi yang tidak stabil seperti didedahkan oleh akhbar berbahasa Inggeris bahawa kadar inflasi mencapai 20 peratus amat membimbangkan.

Terkesan dengan itu, Umno-BN yang bimbang dengan sokongan yang makin berkurang terutama di kalangan Cina menyebabkan mereka mula mencongak tarikh pilihan raya.

Begitupun katanya, jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat iaitu sebelum Mac 2008, ia adalah sejarah kerana pilihan raya diadakan dalam jangka masa kurang empat tahun.

Kali terakhir pilihan raya umum diadakan ialah pada 21 Mac 2004 di mana ketika itu faktor Perdana Menteri baru memberi "kredit" kepada Umno-BN untuk menang selain penipuan yang sering diamalkan.

Tiada gelombang besar

Namun katanya, pilihan raya kali ini Umno melihat bahawa masih tiada gelombang yang boleh meyakinkan rakyat untuk menyokong mereka secara total, justeru itu ia menyebabkan satu keterdesakan kepada Umno untuk mengadakan pilihan raya segera.

"Di peringkat ahli Umno tentunya mereka suka pilihan raya segera kerana wang segera yang ditawarkan, tetapi kepada pimpinan dan calon, mereka terpaksa mengeluarkan wang, mencongak siapa yang bakal bertanding dan berkira-kira soal pertandingan dalam parti tahun 2008," ujarnya.

Faktor ini banyak menjadi kemelut yang membelenggu Umno mutakhir ini selain kemelut dalaman BN itu sendiri.

Di peringkat PAS katanya, setakat ini melihat persediaan dan kerjasama dengan parti pembangkang lain sudah cukup baik dan PAS juga sudah bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa sahaja.

Nota Pengarang : Ikuti wawancara penuh dengan Dato' Kamarudin Jaffar mengenai persiapan PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12 dalam keluaran Harakah akan datang.


0 comments: