Ucapan penggulungan Presiden Umno kesan 'takut' kepada himpunan Bersih esok

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 09, 07 | 8:44:48 pm MYT

Perhimpunan Agung Umno 2007 baru sahaja selesai kira-kira jam 6.30 petang tadi dengan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyudahkan majlis 'suram' itu dengan lagak bengis 'membalun' habis-habisan himpunan aman yang bakal diadakan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) di Dataran Merdeka esok.

Bagaikan singa, Abdullah yang sebelum ini dikenali dengan pemimpin yang "lembik, lemah dan kuat tidur" akhirnya terjaga dari lamunan semata-mata kerana adanya pihak yang mahu menganjurkan himpunan 100,000 rakyat di tempat keramat iaitu di Dataran Merdeka di mana di situlah bendera Union Jack diturunkan.

Cukup marah dan keras kecaman yang dilemparkan Abdullah terhadap Bersih satu gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang mahu demonstrasi jalanan sebagai satu kaedah memberi tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mereformasikan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Bimbang kehadiran pimpinan utama pembangkang

Mana tidaknya himpunan esok akan membariskan antaranya, Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; 68 NGO dan pelbagai parti pembangkang lain seperti DAP, KeADILan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dari ucapan Abdullah sebentar tadi, nyata beliau mungkin sekali telah mengarahkan jentera kerajaan terutamanya pihak polis untuk bertindak ke atas perhimpunan esok.

Kata Abdullah himpunan sedemikian bukanlah amalan demokrasi yang dibenarkan di negara ini kerana katanya bimbang ianya akan menjadikan negara kucar-kacir.

Abdullah mengambil peristiwa di Batu Burok pada 8 September lalu sebagai 'contoh' kononnya ia adalah keganasan pihak pembangkang yang tidak mahu tunduk kepada undang-undang.

Anak menantu PM sendiri langgar undang-undang?

Penulis ingin ingatkan kepada Perdana Menteri bahawa kenyataan beliau itu juga adalah satu peringatan kepada beliau sendiri memandangkan begitu ramai kepimpinan negara hari ini yang sebenarnya tidak menghormati undang-undang.

Anak Perdana Menteri, Kamaluddin Abdullah sendiri melanggar undang- undang rimba ciptaan Umno (ISA), dengan bekerjasama dengan BSA Tahir melalui syarikat Scomi membekalkan komponen nuklear yang akhirnya BSA Tahirlah yang terperangkap dalam akta 'draconian' itu dengan disumbat ke dalam ISA.

Laporan Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor terhadap anak PM mengenai penggunaan kedudukan PM untuk mendapatkan beberapa tender kerajaan juga merupakan satu penyelewengan dan tidak menghormati undang-undang negara.

Selain itu ketika penamaan calon di Pilihan Raya Dun Ijok, menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin disebut-sebut sebagai individu yang mencetus provokasi yang menyebabkan keadaan menjadi tegang hingga adanya adegan baling membaling antara penyokong BN dan KeADILan ketika itu.Bukankah ini satu pelanggaran undang-undang?

Menantu PM sendiri didakwa menggunakan kedudukan Perdana Menteri untuk memiliki saham dalam ECM Libra yang akhirnya terpaksa dijual semula setelah adanya desakan dari pembangkang dalam isu tersebut.Ini juga satu penyelewengan.

BN guna jentera kerajaan ketika pilihan raya

Dalam pilihan raya pula rasuah politik, penyelewengan daftar pemilih, penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya, penggunaan pihak berkuasa polis, platform rasmi kerajaan semasa dan selepas Parlimen dibubarkan adalah satu salahguna kuasa dan tindakan yang tidak patuh kepada undang-undang.Bukankah Abdullah juga menyedari hakikat ini, tetapi menyembunyikannya untuk kepentingan politik.

Umum mengetahui bahawa BN dan Umno akan menggunakan semua jentera, kemudahan dan media massa untuk berkempen habis-habisan ketika pilihan raya sedangkan suara pembangkang disenyapkan.

Inikah demokrasi yang dinyatakan Abdullah sebagai jalan yang seharusnya direstui rakyat? Malang sekali Malaysia memiliki Perdana Menteri berfikiran kelas ketiga dan teruk daripada itu kepimpinan beliau ternyata dikritik oleh bekas 'boss' nya, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kelemahan dalam mentadbir negara.

Penyelewengan yang berlaku di setiap kali pilihan raya tidak pernah didedahkan media arus perdana, sebaliknya media mempropagandakan keburukan pembangkang untuk mendoktrinasi pemikiran rakyat untuk terus tunduk kepada rejim sedia ada.

Himpunan hambar dan tidak ada isi

Malang sekali, Perhimpunan Agung Umno yang berlansung sejak 5 November lalu hanya berakhir dengan ketakutan yang amat sangat oleh Presidennya sendiri setelah menghentam habis-habisan program yang bakal membuka pekung kerajaan di mata rakyat.

Benarlah kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar bahawa tiada mesej besar yang disampaikan Abdullah dalam himpunan Umnom kali ini melainkan melagukan semula retorik Islam Hadharinya selain bermegah dengan pencapaian yang tidak setara mana itu.

Jika Abdullah dan kerajaanya bertindak menghalang keras himpunan esok dengan pelbagai taktik seperti penggunaan provokator di kalangan polis berpakaian awam bagi menghuru-harakan keadaan nyatalah sebenarnya merekalah yang melanggar undang-undang dan bukannya Bersih atau rakyat yang ingin berhimpun secara aman.

Alasan Bersih untuk teruskan himpunan esok

Berikut ialah antara alasan mengapa Bersih mahu meneruskan himpunan 100,000 rakyat esok.

Bersih yang menggabungkan 67 badan bukan kerajaan berdaftar menggariskan enam alasan bagi merayu pihak polis meluluskan permohonan permit untuk mengadakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka, esok.

Surat rayuan yang ditandatangi Sivarasa Rasiah dihantar kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Zulhasnan Najib Baharuddin.

Enam alasan rayuan Bersih itu adalah:

1. Permohonan permit telah dibuat oleh Bersih sebagai satu gabungan yang dianggotai oleh 67 badan-badan berdaftar termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan lima parti politik. Senarai semua pertubuhan ini telah pun dikemukakan. Tambahan pula, tiga orang individu iaitu Anuar Tahir, Sivarasa Rasiah and Liew Chin Tong sebagai ahli jawatankuasa induk BERSIH telah pun menandatangani permohonan tersebut.

Bagaimanapun, bagi memastikan perkara ini tidak menjadi satu halangan untuk permohonan ini, salah satu pertubuhan dalam gabungan BERSIH iaitu Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sanggup menggantikan BERSIH sebagai pemohon. Kami melampirkan di sini surat pengesahan daripada Parti Keadilan Rakyat.

2. Berkenaan dengan alasan bahawa tidak ada surat kelulusan daripada tuan punya tapak, Bersih berpendapat bahawa Dataran Merdeka adalah satu tempat umum yang diakses oleh orang umum pada bila-bila masa. Ia tidak boleh disamakan dengan bangunan atau dewan yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tambahan pula, Dataran Merdeka adalah hanya kawasan bagi mengumpulkan orang ramai sebelum berarak ke Istana Negara. Pihak Bersih juga telah memaklumkan program ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur secara bertulis dan ini adalah dalam pengetahuan pihak polis.

3. Berkaitan dengan alasan bahawa ada program lain di tapak itu pada hari itu, pihak Bersih dimaklumkan bahawa program tersebut hanya bermula pada jam 4.30 petang. Ini telah dimaklumkan kepada pihak polis dan pihak kami memberi jaminan bahawa perhimpunan kita akan beredar keluar dari Dataran Merdeka sebelum 4.30 petang.

Dengan kerjasama polis trafik, kami akan memastikan bahawa kehadiran peserta di persekitaran Dataran Merdeka tidak akan mengganggu apa jua program yang akan bermula pada 4.30 petang tersebut. Kami juga dimaklumkan bahawa program tersebut (satu progam kebudayaan) adalah terbuka kepada orang awam dan peserta kita juga berhak menyaksikan dan menhayatinya.

4. Dari maklumat yang diperolehi pihak kami, terdapat kumpulan tertentu akan mengambil kesempatan menimbulkan keadaan tidak tenteram dan tidak selamat kepada orang awam yang menyertai perhimpunan tersebut. BERSIH telah memberi jaminan kepada pihak polis akan menyediakan 300 petugas atau 'marshals' yang akan memastikan peserta dalam perhimpunan aman kami berhimpun dan berarak secara aman dan teratur tanpa menggangu ketenteraman dan keselamatan kawasan itu.

Kami mengalu-alukan kehadiran pihak polis berpakaian seragam dalam jumlah yang sesuai supaya bersama dengan kami dengan jarak yang wajar bermula dari Dataran Merdeka sehingga ke Istana Negara. Sekiranya ada kumpulan tertentu yang ingin melakukan kekacauan, kami anggap adalah tanggung jawab dan tugas polis untuk mengawal keadaan dan memastikan mana-mana orang atau kumpulan ini ditahan daripada melakukan perkara yang tidak diingini.

Sekiranya polis ada maklumat dalam tangan mengenai kumpulan tertentu ini, polis harus mengumumkan nama dan identiti mereka dan memberi amaran kepada mereka bahawa polis akan bertindak sekiranya mereka melakukan kekerasan atau tindakan yang menimbulkan kekacauan.

5. Bersih berpendapat bahawa alasan kelima yang diberi iaitu perhimpunan kami akan menimbulkan gangguan laluan lalu lintas tidak wajar dan perlu dikaji semula. Adalah ternyata bahawa mana-mana perhimpunan dan perarakan baik sederhana atau besar boleh sedikit sebanyak menganggu laluan lintas. Jadi sekiranya ini digunakan sebagai alasan, ia akan memusnahkan hak berhimpun.

Sepertimana yang disebutkan di atas, Bersih akan memastikan perarakan ini teratur dan aman. Gangguan kepada laluan lalu lintas mampu dikurangkan setakat yang boleh dan memerlukan kerjasama pihak polis trafik sepertimana yang kita lihat dalam kebanyakan perarakan besar di luar negara kita. Pendekatan ini boleh menjamin perlindungan yang perlu bagi hak asasi berhimpun dan berarak secara aman sambil memastikan gangguan yang minima kepada penggunan laluan lalu lintas.

6. Alasan keenam yang diberi oleh Tuan Ketua Polis Daerah adalah bahawa perhimpunan kami akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Alasan ini tidak memberi apa jua butiran dan tidak berasas. Kami mengulangi dengan tegas apa yang disebut di atas di perenggan (d) dan (e).

0 comments: