Memperkasa Islam Hadhari

KUALA LUMPUR: Islam sebagai agama yang sempurna dan berkesan untuk diterapkan dalam melayari kehidupan, perlu dihayati secara menyeluruh bagi melahirkan generasi ulul albab yang disegani sejagat.

Menyedari pentingnya penghayatan Islam dalam konteks kesihatan, fizikal, pendidikan dan ekonomi, Wakil Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Yusof Abd Hamid mencadangkan kerajaan mengkaji sejauh mana keberkesanan dan pemahaman rakyat, termasuk kakitangan kerajaan terhadap Islam Hadhari.

“Apakah tahap pemahaman yang hendak dicapai kerajaan untuk orang Islam dan bukan Islam bagi konsep Islam Hadhari.

“Umno Wilayah Persekutuan juga hendak tahu, apakah langkah yang diambil kerajaan untuk memperkasa Islam Hadhari di kalangan rakyat," katanya ketika mencadangkan usul agama dan sosial di Persidangan Agung Umno 2007.

Ketua Umno Bahagian Batu itu menyampaikan hasrat akar umbi supaya fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai Sekretariat pendekatan Islam Hadhari diperluaskan dan dimantapkan pada semua peringkat.

Beliau juga menyarankan supaya diteliti program Perkampungan Hadhari yang ketika ini turut diperuntukkan kepada kawasan Parlimen dan wakil di kalangan bukan Islam kerana ada yang menggunakan peruntukan RM50,000 untuk program itu bagi majlis di surau sempena Ramadan.

Sepanjang 2005, seramai 698,988 rakyat mengikuti program Islam Hadhari dan jumlah itu meningkat kepada 1.3 juta tahun lalu dengan peruntukan disediakan Jakim mencecah RM11.7 juta tahun ini, manakala untuk Perkampungan Hadhari pula berjumlah RM11.25 juta.

Umno Wilayah Persekutuan juga mencadangkan supaya Jakim diberi mandat menjalankan kajian terperinci pelan tindakan komprehensif dan dana untuk melengkapkan prasarana dan mewujudkan unit Islam Hadhari pada setiap negeri.

Sehubungan itu, katanya, Sekretariat Antarabangsa Islam Hadhari wajar ditubuhkan untuk menjadi wadah bagi memperkenalkan pendekatan itu kepada dunia dengan kerjasama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Wajar juga dipertimbangkan melantik duta khas untuk mengetengahkan dan memperkenalkan dunia dengan Islam Hadhari,” katanya yang percaya pemantapan J-Qaf dan Islam Hadhari pada semua sistem pendidikan kebangsaan dapat mempercepatkan proses pembangunan generasi Ulul Albab.

Mohd Yusof juga menyarankan supaya pelaksanaan program J-Qaf yang merangkumi pendidikan jawi, al-Quran, Arab dan fardu Ain di sekolah rendah mulai 2005 diperluaskan ke semua sekolah segera.

Beliau juga mengetengahkan masalah kekurangan guru pakar untuk mengajar kurikulum J-Qaf dipercepatkan tanpa perlu menunggu hingga 2010, iaitu tempoh ia dilaksanakan sepenuhnya.

Malah, berlaku kekurangan guru mahir apabila jumlah yang diperlukan adalah 22,707, berbanding bilangan yang ditauliah untuk program sama hanya 12,330 orang. Begitu juga wujud masalah prasarana apabila hanya 1,555 makmal J-Qaf dilengkapkan di seluruh negara ketika ini, berbanding 6,058 makmal diperlukan.

Umno Wilayah Persekutuan juga menyentuh masalah sosial yang disumbang pendatang asing, terutama yang menjalin hubungan dengan rakyat tempatan tanpa batasan hingga menyebabkan anak gadis lari bersama mereka dan penjenayah.

Sehubungan itu, kaedah dan tata cara pengambilan jumlah pekerja asing perlu dikaji semula dengan mengambil kira keperluan sebenar dan membina pusat setempat untuk memantau perlakuan kumpulan itu.

0 comments: