Cubaan sekat himpunan 10 Nov, media hina rakyat Palestin

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 09, 07 | 9:47:36 am MYT

Esok jam 3.00 petang, seluruh rakyat dan penyokong pembangkang akan berhimpun di hadapan Dataran Merdeka dan berarak menuju ke Istana Negara dalam 'Himpunan Selamatkan Malaysia' anjuran Sekretariat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Seluruh mata kini tertumpu kepada himpunan itu memandangkan ia adalah himpunan terbesar yang bakal mengubah lanskap politik negara arus millenia selepas himpunan besar-besaran diadakan sekitar kes pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Media-media arus perdana semakin rancak melaporkan kenyataan demi kenyataan dari kepimpinan kerajaan, polis dan pihak-pihak yang tidak senang hati dengan penganjuran himpunan ini.

Polis sendiri berulang kali menjadi suara bicara kerajaan dalam menyampaikan amaran kepada rakyat dan penganjur dengan beberapa ugutan terutamanya himpunan ini dikatakan 'haram' kerana tiada permit.

Ada juga media yang menanyangkan klip video yang memaparkan kejadian-kejadian 'tragis' yang disifatkan sebagai keganasan dalam beberapa demonstrasi aman di beberapa buat negara.

Tragedi 'Batu Burok' juga tidak terlepas dari menjadi bahan rencah dalam menyedapkan klip video tersebut bertujuan menakut-nakutkan rakyat.

Klip video hina intifadah

Paling menyedihkan stesen televisyen kerajaan yang menayangkan klip video itu turut mengheret aksi-aksi rakyat Palestin yang berdemonstrasi bagi menentang kezaliman rejim Yahudi.

Aksi membaling batu yang biasa dilakukan oleh pejuang dan rakyat Palestin sekali lagi dilacurkan oleh stesen televisyen semata-mata untuk menunjukkan bahawa demonstrasi akan berakhir dengan keganasan.

Ia seolah-olah menghina perjuangan rakyat Palestin yang bermandi darah kerana ketiadaan bantuan senjata mempertahankan diri semata-mata untuk menentang rejim Zionis.

Apakah dosa rakyat Palestin sehingga aksi mereka ini dijadikan bahan untuk meledak kemarahan rakyat Malaysia terhadap usaha-usaha menganjurkan himpunan aman di negara ini?

Sedangkan hakikat sebenar yang berlaku sebaliknya. Kebanyakan himpunan aman yang dianjurkan di Malaysia khususnya tidak akan menjadi 'ganas' andainya pihak Cawangan Khas (SB) tidak memulakan aksi mencetus huru-hara.

Dalam banyak himpunan polis yang terlebih dahulu melakukan tindakan untuk menghuru-harakan himpunan supaya himpunan nampak seolah-olah ganas dan tidak terkawal.

Banyak contoh telah terlihat dan didedahkan seperti dalam kes himpunan Jalan Kebun Bunga di zaman reformasi dan himpunan menentang kenaikan harga minyak 'Bloody Sunday' di hadapan KLCC yang ternyata dalam siasatan awam mendapati polis bertindak memulakan kekecohan.

Begitupun media-media di bawah kawalan Umno-BN hari ini mula menayangkan aksi-aksi ganas yang cuba dikaitkan dengan himpunan di negara ini. Malang sekali penyuburan demokrasi telah disempitkan oleh media-media yang setia dilacurkan demi kepentingan politik hinggakan perjuangan rakyat Palestin juga dihina.

0 comments: