Hak rakyat bukan ditentukan oleh KPN- Peguam PAS bidas Musa Hassan!

Azamin Amin
Fri | Nov 09, 07 | 11:41:24 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam perkara 10 Perlembagaan Negara tidak boleh ditentukan atau dihalang oleh mana-mana pihak termasuk Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan.

AJK PAS Pusat yang juga peguam Mohamed Hanipa Maidin berkata sekiranya pihak polis menangkap atau menghalang orang ramai yang ingin menuju atau pergi ke perhimpunan aman esok Sabtu 10 NOvember) bermakna pihak polis telah melakukan kesalahan dan menjalankan tugas di luar bidang kuasa malah boleh didakwa di mahkamah.

"Pihak polis tidak boleh sama sekali menangkap orang awam yang tidak melakukan apa-apa kesalahan sedangkan mereka sekadar berjalan menuju dan menghadiri perhimpunan tersebut," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini bagi mengulas kenyataan KPN Tan Sri Musa Hassan yang memberi amaran supaya rakyat tidak menghadiri perhimpunan esok.

"Ini adalah 'freedom of movement' yang dijamin dalam perlembagaan negara. Polis hanya boleh kawal selia dan menjaga keselamatan orang ramai sahaja," katanya yang juga merupakan seorang peguam.

Sudah banyak kes di mahkamah membuktikan polis melakukan kesalahan dengan menangkap orang awam yangb berhimpun secara aman malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) juga telah menyatakan bahawa hak berhimpun mestilah dibenarkan kerana merupakan hak asai manusia di samping dijamin oleh undang-undang negara.

Beliau juga menggangap tindakan Musa mengeluarkan arahan sebagai mengelirukan kerana kenyataan kebenaran berhimpun hanya boleh dikeluarkan oleh OCPD Daerah di mana permit tersebut dipohon dan kenyataan Musa itu dilihat mempengaruhi bidang kuasa OCPD itu.

"Ini tindakan berat sebelah, malah proses permohonan permit mestilah dibaca sekali dengan perkara 10 perlembagaan negara dan bukannnya menggunakan alasan dangkal seperti kesesakan lalu lintas," katanya malah pihak polis juga tambahnya telah memberi respon negatif sebelum permit dipohon lebih awal lagi bahawa mereka tidak akan memberikan sebarang permit kepada Bersih untuk melakukan perhimpunan.

"Kalau kesesakan lalu lintas dijadikan alasan, maka kenapa dibenarkan perarakan Maulidur Rasul, Kavadi atau konvoi Putera Umno yang sama sahaja situasinya?

"Dan bagaimana polis boleh menyatakan ada kekecohan boleh terjadi sedangkan ianya belum berlaku atau memang ada perancangan polis ke arah itu?," katanya dan menabah bahawa pihak Bersih, parti-parti polistik dan NGO telah memaklumkan kepada semua ahli dan rakyat suapaya tidak melakukan apa-apa provokasi pada perhimpunan itu.

Beliau sekali dengan tegas menyatakan bahawa rakyat tidak perlu takut untuk datang berhimpun dan menyatakan bahawa kebebasan berhimpun secara aman itu telah termaktub dalam undang-undang negara.

"Sekali lagi saya nyatakan, jika polis tangkap dan halang orang ramai tanpa sebab atau sekadar menghadiri perhimpunan itu, maka pihak polis telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah. - mr

0 comments: