Rakyat diminta rebut peluang pembangunan

WAKIL Perlis, Datuk Hashim Suboh meminta rakyat di tiga kawasan pembangunan wilayah ekonomi koridor merancang persediaan dengan semangat merebut peluang yang diwujudkan dan tidak terpengaruh dengan gambaran suram yang digemburkan pembangkang.

Beliau berkata, tidak wajar orang Melayu menyambut pelaksanaan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan perasaan takut, prejudis dan terancam.

"Biar Pas dan Keadilan dengan cerita seram Misteri Nusantara ciptaan Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar yang cuba menakutkan kita dengan gambaran suram mengenai kesan pelaksanaan projek ini kepada bangsa Melayu.

"Koridor pembangunan ekonomi wilayah bukan agenda kecil, pendekatan sektor ini memberi kesan berganda kepada ekonomi negara dan memberikan kesan melata kepada rakyat," katanya ketika membahaskan usul terima kasih ucapan dasar Presiden.

Hashim yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar, berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain mengemudi perancangan pembangunan ekonomi wilayah, mesti juga menjadi payung dalam membina Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Katanya, Melayu mahukan kesaksamaan peluang dan akan berjaya jika GLC mampu memayungi mereka dalam kontrak perladangan, pengeluaran dan pemasaran.

Beliau juga mencadangkan supaya gerakan koperasi diperkasa melalui penggabungan koperasi yang turut membabitkan pertubuhan perladangan untuk memberi kekuatan merebut peluang daripada pembangunan ekonomi wilayah koridor.

Katanya, gerakan koperasi juga mesti kembali diperkuatkan sebagai satu lagi instrumen agenda ekonomi.

"Dengan kekuatan hampir 5,000 koperasi dan enam juta ahli, nilai aset tidak kurang RM26 bilion dan keuntungan tahunan tak kurang RM800 juta setahun, gerakan koperasi sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi sektor ketiga ekonomi negara," katanya.

Katanya, kejayaan beberapa koperasi di luar negara seperti The National Cooperative Federation di Korea Selatan dengan hampir 4,000 koperasi pertanian yang mampu memiliki bank perdagangan kedua terbesar di negara itu dengan deposit berjumlah AS101 bilion, perlu dijadikan contoh.

Mengenai politik, beliau berkata, perbezaan antara Umno dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mesti diberi gambaran yang lebih jelas kepada rakyat.

Beliau menyatakan perbezaan Pas dengan Umno melalui seloka;

Umno parti terbuka, Pas parti tertutup,

Umno parti moderate, Pas parti konservatif

Umno parti dinamik, Pas parti jumud,

Umno parti bijaksana, Pas parti emosional,

Umno parti mesra, Pas parti bengis menyinga,

Umno parti penghayatan, Pas parti perlambangan,

Umno parti maju ke depan, Pas parti mundur ke belakang,

Umno membina tamadun, Pas berkhayal dengan tamadun.

0 comments: