BN Pulau Pinang tidak gentar PKR

BUKIT MERTAJAM 8 Nov. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, BN tidak gentar dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang semakin agresif berkempen kononnya, untuk merampas negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Malah, bagi beliau, tindakan agresif PKR sejak kebelakangan ini tidak menghairankan kerana sudah menjadi lumrah bagi parti pembangkang itu untuk berbuat demikian pada saat-saat menjelang pilihan raya umum.

“Itu biasalah, kalau mereka (PKR) fikir pilihan raya sudah dekat, mereka akan mula berkempen habis-habisan. Tetapi bagi BN, kita sudah berkempen sejak diberi mandat awal-awal dulu dan bersedia bila-bila masa.

“Kalau mereka hendak berkempen, silakan. BN tiada masalah dan saya percaya, inilah yang membezakan BN dengan parti pembangkang. Kita tidak buat kerja saat-saat akhir tetapi kita bekerja sepanjang masa,” katanya.

Tsu Koon yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Pengerusi Parti Progresif Rakyat (PPP) negeri, Datuk Dr. Loga Bala Mohan di Taman Bukit di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan PKR yang semakin giat berkempen di setiap pelosok negeri itu termasuk ceramah-ceramah oleh Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan keyakinan PKR mampu merampas Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang.

Tsu Koon berkata, semua jentera pilihan raya setiap parti komponen BN di Pulau Pinang sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tarikh pilihan raya bukan menjadi satu perkara yang penting kerana proses pemilihan pasti akan berlaku, sebaliknya setiap ahli perlu terus bekerja keras mendekatkan diri dan berkhidmat secara ikhlas kepada rakyat.

“Kalau kita buat kerja sejak awal, memberi khidmat bakti sejak awal, kita tidak akan terlalu memikirkan soal bila tarikh pilihan raya kerana sudah bersedia sejak awal lagi. Ini yang penting,” tegasnya.

0 comments: