Muslimat jangan takut ugutan polis - Ustazah Nuridah

Saidah Hairan
Fri | Nov 09, 07 | 10:11:27 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh)- Ugutan keras daripada pihak polis untuk menahan peserta perhimpunan aman di Dataran Merdeka petang esok sedikit pun tidak melemahkan semangat rakyat Malaysia untuk terus menyokong perjuangan suci anjuran Bersih tersebut.

Berita jam 8 malam tadi menyiarkan kenyataan polis untuk menahan sesiapa sahaja yang menyertai perhimpunan aman itu, dengan didenda sebanyak RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun.

Merujuk ugutan keras itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengingatkan muslimat seluruh negara supaya jangan gentar atau takut dengan ugutan daripada pihak polis.

Beliau sentiasa menerima pertanyaan daripada Muslimat melalui sistem pesanan rengkas (SMS) berhubung ugutan pihak polis yang melarang rakyat menyertai perhimpunan aman kerana didakwa haram.

Katanya, pihak Suhakam telah mengatakan perhimpuan aman itu boleh dilakukan untuk menuntut hak sebagai rakyat Malaysia yang tidak ditunaikan oleh pihak pemerintah (Umno-BN).

"Saya amat berharap kepada pihak polis supaya memberi kerjasama kepada perhimpunan aman itu bukan menjadi `kuda tunggangan' Umno-BN untuk mengucar kacirkan suasana,"katanya.

Beliau menegaskan, perhimpunan aman itu bukan diadakan sekadar untuk berhimpun tetapi untuk mendesak SPR melaksanakan pilihan raya secara telus dan ia menjadi tanggungjawab kepada setiap diri.

"Kita takut bala daripada Allah jika kemungkaran itu dibiarkan terus berleluasa,"tegasnya.

Selagi lagi beliau mengingatkan dan menyeru kepada muslimat seluruh negara supaya jangan takut dengan ugutan pihak polis sebaliknya perjuangan perlu diteruskan untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, muslimat seluruh negara berharap pihak polis dapat berfikir secara rasional dan melihat secara adil jangan takut dengan ugutan pihak Umno dan kerajaan. - mr

0 comments: