'Ayuh kuningkan Kuala Lumpur 10 November ini' - Mohamad Sabu

Johari Jaafar
Fri | Nov 09, 07 | 2:25:35 pm MYT

IPOH, 9 Nov (Hrkh) - "Pada 10 November ini saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kita mengadakan himpunan aman di Dataran Merdeka untuk kita mendesak kerajaan agar demokrasi dipulihkan kembali melalui pilihanraya umum akan datang dan proses pilihanraya berjalan dengan bersih dan adil, kerana itu saya menyeru sekali lagi agar kita`kuningkan' Kuala Lumpur."

Demikian dinyatakan Pengerusi Perhimpunan Aman 1000,000 rakyat Malaysia, Mohamad Sabu ketika berucap di majlis Ceramah 100,000 Rakyat Peringkat Negeri Perak di sini yang dihadiri lebih 2,000 orang.

Menurut beliau, program anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) tersebut bertujuan untuk menuntut hak rakyat bagi mempastikan proses pilihanraya berlaku dengan adil tanpa sebarang penipuan dan penyelewengan.

"Oleh kerana itulah BERSIH menuntut empat perkara, antaranya penggunaan cap jari, pembersihan senarai pengundi dalam daftar pengundi supaya tidak wujud lagi nama orang yang telah mati turut `pergi' mengundi, hapuskan undi pos dan digantikan dengan kaedah lain dan mengakseskan media," ujarnya.

Beliau meminta pihak berkuasa terutama polis supaya tidak menghalang perhimpunan aman tersebut kerana BERSIH diwaikili parti-parti politik pembangkang dan lebih 98 Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mendesak agar demokrasi dipulihkan dan proses pilihanraya berlaku dengan bersih dan adil.

"Anggota-anggota polis berkursus di luar negera, ada yang berkursus di England, dan juga di Amerika Syarikat, lihatlah cara pihak polis England menangasi perhimpunan aman dan demonstrasi di negara tersebut," ujarnya.

"Ketika saya di England saya sempat melihat para pelacur mengadakan perhimpunan kerana membantah kawasan pelacuran mereka hendak dimusnahkan, perarakan itu dikepalai oleh pihak polis, kiri dan kanan diawasi oleh polis, tidak ada satu pun gas pemedih mata dilepaskan."

"Tetapi kita hairan pihak polis berkursus di England dan Amerika, mereka tidak gunakan ilmunya, sebaliknya menggunakan pendekaran 'ala Burma' bertindak terhadap perhimpunan aman dan demontrasi yang dianjurkan di negara ini, seperti yang berlaku di Batu Burok, Terengganu" katanya lagi.

Menurut beliau, perhimpunan 100,000 rakyat anjuran BERSIh bukan bertujuan untuk mengadakan huru hara dan kacau-bilau, sebaliknya perhimpunan itu sebagai menunjukkan rasa protes terhadap demoktrasi yang telah `ditelanjang' oleh Umno/BN dan rakyat kini mahu demokrasi itu dipulihkan kembali dan pilihanraya berlaku dengan adil, telus dan bersih.

Sepatutnya semua pihak termasuk anggota polis menyokong BERSIH yang menuntut proses pilihanraya berjalan dengan adil dan demokrasi dipulihkan kembali, tambah beliau.

"Di akhir perhimpunan itu nanti BERSIH akan menghantar memorandan kepada Yang DiPertuan Agong di Istana Negara, mengharapkan baginda menggunakan kuasanya, sekiranya daftar pemilih masih tidak dibersihkan sepenuhnya, bersetuju baginda boleh menggunakan kuasanya untuk tidak bersetuju menandatangani pembubarkan Parlimen dan pilihanraya umum tidak diadakan," katanya.

"Saya meminta seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat demokrasi dipulihkan kembali dan proses pilihanraya berjalan dengan bersih dan adil agar turun ke Kuala Lumpur 10 November ini agar hari itu kita 'kuningkan' bandaraya Kuala Lumpur. - mr


0 comments: