KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan kaum lain tidak perlu mempertikaikan keikhlasan dan kejujuran Umno dalam memperkasakan agenda perpaduan nasional yang terbukti diterjemahkan sejak sebelum merdeka lagi, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Beliau berkata, perkara itu jelas disentuh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin dalam ucapan dasarnya yang menjelaskan Umno tidak sekali-kali memungkiri janjinya dalam menegakkan perpaduan kaum.
"Jadi, janganlah mempertikaikan keikhlasan, kejujuran dan keterbukaan Umno dalam soal ini. Presiden parti sendiri memberi jaminan Umno tidak mengamalkan sifat lidah bercabang kerana setiap permasalahan kaum boleh dibawa di meja rundingan," katanya ketika ditemui di sini.
Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, semua pihak harus akur dengan mesej yang diketengahkan Abdullah dengan tidak membincangkan masalah perkauman secara terbuka serta menjadikan media massa sebagai medan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.
Katanya, apa yang dikhuatiri isu perkauman digunakan oleh pihak tertentu untuk memenangi hati rakyat, terutama ketika pilihan raya.
Sambil menyifatkan ucapan dasar Abdullah kelmarin sebagai menyeluruh dan memberi fokus jelas peranan Umno sebagai parti tunjang kerajaan, beliau berkata, Umno bukan saja komited dalam memperjuangkan agenda perpaduan kaum, malah membabitkan hak keistimewaan orang Melayu serta kedudukan agama Islam.
"Beberapa isu, termasuk hubungan sesama kaum, masalah jenayah dan keselamatan turut dihuraikan secara terperinci oleh Presiden parti.
"Rakyat tidak sepatutnya bimbang kerana kerajaan sudah dan sedang melaksanakan pelbagai langkah dan pendekatan bagi memastikan negara terus aman dan stabil," katanya.
0 comments:
Post a Comment