Fri | Nov 09, 07 | 6:23:58 am MYT
Bagai diduga, Ucapan Dasar Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno di perhimpunan agung partinya, 7 November, mendapat standing ovation (tepukan berdiri) dan tempik-sorak bergemuruh sidang hadirin. Tidak dapat dipastikan apakah kegemuruhan itu lantaran kepetahan pidato Abdullah dan ketajaman hujahnya, atau didorong ketaksuban hadirin kepada parti mereka.
Ataukah sorak-sorai mereka itu semata-mata dipaksa keadaan bagi meraikan tradisi parti itu yang sejak dulu hingga kini (dan mungkin selamanya) akan menunjukkan sikap ampu mereka kepada presiden yang selesai berucap, kononnya itulah ucapan terhebat yang pernah mereka dengar?
Biar apa pun sebab-musabab yang merasuk sekalian hadirin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam untuk bangun dan bertepuk, itu hak mereka. Namun, di luar kesedaran mereka tepukan dan sorakan itu bagai meraikan kelemahan dan kegagalan Umno yang baru didedahkan presiden mereka sendiri. Bukankah ucapan itu sarat dengan penegasan semula, ingatan dan rayuan kepada pelbagai pihak tentang perkara-perkara asas yang masih gagal diperjuangkan Umno?
Ulangsebut ratusan kali
Mengapa perlu mengulangsebut perkara sama puluhan, malah ratusan kali jika Umno sebagai tulang belakang kerajaan Barisan Nasional telah berjaya memperjuangkannya? Apa ertinya jika setelah lebih 50 tahun menerajui negara, Umno masih tercari-cari jatidiri bangsa, masih berusaha memartabatkan ekonomi Melayu dan masih merayu rakan-rakan bukan Melayu agar memahami sensitiviti kaum majoriti ini?
Bukan prejudis atau sinikal, tetapi bagi penulis ucapan dasar Abdullah itu (juga ucapan-ucapan seumpamanya oleh para pemimpin lain selama ini) sebenarnya lebih merupakan perakuan tentang kegagalan Umno memartabatkan bangsa Melayu dalam segala aspek yang diperjuangkan selama ini.
Apa yang sangat mendukacitakan kita, di saat para pemimpin Umno "memperakui" keterbelakangan bangsa Melayu itu (sebab kita pun Melayu juga!), mereka nampaknya masih tidak mahu mengakui kesilapan diri sendiri. Sebaliknya mereka lebih senang dan sangat terbiasa menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka. Dalam hal ini, ucapan dasar Abdullah kelmarin tidak terkecuali.
Pada suatu ketika dalam ucapannya itu, Abdullah mengingatkan ahli partinya dan rakan-rakan kongsi dalam BN supaya jangan sekali-kali terperangkap dalam isu agama dan perkauman yang dicetuskan oleh politik pembangkang.
Lebih kurang katanya, "kita adalah parti yang menguasai kerajaan, kita adalah parti didukung oleh kuasa eksekutif. Kita tidak harus merendahkan kedudukan kita, melatah dicucuk oleh pembangkang."
Sebagai Perdana Menteri, apa rasionalnya Abdullah terus mengkambing-hitamkan pihak pembangkang di atas isu-isu yang gagal diselesaikan di kalangan kerabat parti pemerintah?
Dari satu sudut, jika para pemimpin Umno mengiyakan dakwaan Abdullah kononnya parti-parti komponen BN yang membangkitkan isu perkauman dan agama adalah hasil terpengaruh dengan hasutan pembangkang, bererti mereka secara terbuka meletakkan mentaliti dan tahap pemikiran para pemimpin kerabat BN itu jauh lebih rendah daripada pihak pembangkang.
Jauh lebih bijak
Dalam ertikata lain, para pemimpin pembangkang jauh lebih bijak dan licik sehingga mampu menghasut dan mempengaruhi para pemimpin kerabat BN dalam isu-isu dimaksudkan. Apakah para pemimpin BN dapat mengakui hakikat ini?
Di satu pihak lain, apakah semudah itu rakyat dapat menerima kononnya segala isu berkaitan agama dan perkauman yang menjadi pertelingkahan di kalangan parti-parti BN adalah hasil cucukan pembangkang?
Mari kita perhatikan beberapa contoh berkaitan perkara itu. Ambil contoh kes kenyataan Datuk Seri S. Samy Vellu mengenai perobohan kuil di Kampung Rimba Jaya, Padang Jawa, Shah Alam, 30 Oktober lalu. Insiden perobohan kuil itu adalah tindakan pentadbiran oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Presiden MIC itu bagaimana pun menyifatkan perobohan itu melukakan hati penganut agama Hindu. Beliau bagaikan merajuk, sehingga timbul perkhabaran bahawa MIC akan membatalkan semua majlis rumah terbuka sempena perayaan Deepavali kerana berkongsi kekecewaan penduduk kampung terbabit.
Polemik antara para pemimpin MIC dan kerajaan Selangor berlanjutan beberapa ketika dan mendapat perhatian media massa. Isu berkaitan agama sememangnya sentiasa di pandang sensitif oleh semua pihak dalam negara kita. Soalnya, adakah isu tersebut dicetuskan mana-mana pihak dari parti pembangkang?
Lihat pula contoh kes tuntutan MCA dalam beberapa perkara berkaitan bahasa Mandarin. Antaranya bagi mengekalkan pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda mereka sebagai membantah langkah Kementerian Pelajaran memaksa penggunaan bahasa Inggeris.
Begitu juga dalam isu menjadikan bahasa Mandarin sebagai pengantar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Jika mengikut logik Abdullah menerusi ucapan dasarnya semalam, isu-isu adalah cetusan pembangkang. Sejauh manakah benarnya dakwaan itu?
Bagaimana pula dengan tuntutan parti sahabat Umno itu agar kerajaan melaksanakan tender terbuka tanpa mengira kaum dalam pengagihan projek-projek kerajaan? Kononnya, jika langkah itu dilaksanakan, amalan 'ali baba' akan dapat dihapuskan dan akan mewujudkan persaingan lebih sihat dalam ekonomi negara.
Gesaan itu mendapat tentangan keras ahli-ahli politik Melayu, khususnya para pemimpin Umno. Soalnya, apakah cadangan disuarakan Presiden MCA sendiri itu ekoran dicucuk pihak pembangkang juga?
Kucup keris
Dalam ucapannya kelmarin, Abdullah juga menyentuh isu Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein menghunus dan mengucup keris pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu. Perbuatan itu dianggap ofensif dan mendapat kritikan pedas para pemimpin MCA. Cuba soal lagi, apakah isu itu juga dicetuskan pihak pembangkang?
Banyak lagi sebenarnya kes-kes yang boleh dijadikan contoh bahawa pertelingkahan antara parti-parti kerabat BN tidak ada kena-mengena langsung dengan pihak luar. Justeru, di mana rasionalnya Abdullah masih cuba mengkambing-hitamkan pihak pembangkang?
Barangkali Abdullah juga berkongsi tabiat para pemimpin Umno yang senantiasa cuba menakut-nakutkan rakyat terhadap kebangkitan pembangkang. Rakyat ditakutkan, jika pembangkang memerintah, negara akan huru-hara. Jika pembangkang berkuasa, negar akan mundur ke belakang dan berbagai lagi. Segala gambaran menakutkan itu sudah selalu kita dengar.
Jika atas alasan itu Abdullah cuba mengaitkan pembangkang dengan pertelingkahan di kalangan BN, bererti dia telah menjadikan ucapannya itu ibarat 'cakap tak serupa bikin'.
"Jangan lagi ditakutkan minda Melayu, seperti menakut-nakutkan anak kecil kepada hantu," itu antara kata Abdullah.
Apa pun maksud Abdullah atas ungkapan itu, telah terbukti bahawa pihak yang paling banyak menakutkan minda orang Melayu selama ini ialah para pemimpin kerajaan, termasuk Abdullah sendiri.
Perbuatan Abdullah itu mengingatkan penulis kepada kata-kata yang pernah diucapkan al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya, "kita nak jual ubat kurap kat orang, kita sendiri bertompok kudis, siapa nak beli?"
Ertinya, jika kita nak nasihatkan orang agar jangan menakutkan minda orang Melayu, sedangkan kita sendiri sering menakut-nakutkan rakyat terhadap pembangkang, siapa akan dengar nasihat kita? Sebab itu dengan ucapannya, Abdullah tidak ubah seperti seorang yang berkudis tetapi mahu menjual ubat kurap kepada orang lain. Mana ada rakyat yang waras akan membelinya?
0 comments:
Post a Comment