KUALA LUMPUR 8 Nov. – Rakyat Kelantan perlu mencontohi pengundi Terengganu memilih Barisan Nasional (BN) sekiranya inginkan pembangunan di negeri itu.
Wakil Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, jika Kelantan diterajui oleh pemimpin BN ia memudahkan urusan dengan Kerajaan Pusat.
“Untuk rakyat Kelantan merasai pembangunan, mereka perlukan Menteri Besar yang boleh ‘berbisik’ dengan Perdana Menteri.
“Saya mengatakan demikian kerana Terengganu telah berasa betapa peritnya ketika berada di bawah kerajaan Pas.
“Anak-anak kecil dihalau dari Tadika dan apabila BN mengambil alih Terengganu, sebanyak 937 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun telah khatam al-Quran pada 2006 sementara tahun ini 2,010 orang berjaya melakukannya,’’ jelas beliau.
Wan Hisham berkata demikian ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menyentuh rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), beliau yakin ia akan memanfaatkan rakyat di negeri-negeri terlibat kerana Perdana Menteri adalah pemimpin yang mengotakan janji.
“Dahulu PM menjanjikan hanya satu universiti dibina di Terengganu tetapi hari ini ada empat universiti,’’ jelasnya.
Menurutnya, apabila ECER dilancarkan, pertumbuhan ekonomi negara untuk 12 tahun akan datang diunjurkan 6.3 peratus sementara Terengganu 7.5 peratus dan Kelantan sebanyak 7.2 peratus.
0 comments:
Post a Comment