MIRI 8 Nov — Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu hari ini menyelar British Broadcasting Corporation (BBC) kerana menyiarkan laporan tidak tepat mengenai kaum Penan baru-baru ini.
Beliau berkata, program bertajuk “Tribe” itu hanya memberi fokus terhadap sekumpulan kecil masyarakat Penan yang hidup sebagai suku kaum nomad serta memberi gambaran seolah-olah orang Penan yang mereka temubual itu mewakili seluruh masyarakat berkenaan.
“Sepatutnya, BBC menyatakan bahawa orang yang mereka temubual dalam program itu hanya mewakili 527 orang Penan yang ada di Sarawak.
“Tapi, mereka memejamkan mata terhadap kejayaan yang dicapai oleh 97 peratus anggota masyarakat Penan yang ada di Sarawak
“Penerbit program ini memang orang gila. Kalau tidak, tentu dia ada perasaan untuk bersikap adil dan seimbang. Orang gila memang tidak seimbang,” katanya ketika merasmikan satu bengkel yang disertai sukarelawan Penan di sini.
Jabu berkata, program itu mencemarkan nama baik BBC dan merosakkan imej masyarakat Malaysia yang patuh kepada undang-undang.
Katanya, program berkenaan juga tidak memberi pengiktirafan sewajarnya terhadap kejayaan kerajaan membawa masyarakat Penan ke dalam arus perdana pembangunan.
“Saya melihat program ini sebagai satu lagi percubaan tidak bertanggungjawab oleh orang luar yang datang ke Sarawak untuk mempergunakan segelintir anggota masyarakat Penan bagi mencari wang dengan mengada-adakan cerita tentang kumpulan etnik itu,” katanya.
Jabu berkata, kerajaan sedar tentang kewujudan sebuah kumpulan di negeri itu, termasuk calon yang kalah pada pilihan raya, yang bersekongkol dengan badan bukan kerajaan dari luar negara untuk melancarkan kempen memburuk-burukkan negara sendiri.
Sambil menyifatkan kumpulan itu sebagai “penderhaka paling besar” yang dipergunakan oleh media cetak dan elektronik dari Eropah dan Amerika, beliau berkata suara mereka tidak mewakili pendirian majoriti kumpulan etnik di Sarawak.
Seorang pemimpin kaum Penan, Datuk Hasan Sui, yang juga seorang usahawan berjaya berkata, beliau kecewa dengan tindakan terbaru media Barat itu untuk memperkecil-kecilkan dan menghalang masyarakatnya daripada maju seperti masyarakat lain.
Hasan, yang diiktiraf sebagai jutawan Penan pertama di negara ini, berkata bahawa semasa melawat sebuah negara Eropah baru-baru ini, beliau mendapati ada satu kumpulan kecil yang memungut derma kononnya bagi membantu kaum Penan di Sarawak.
“Sebenarnya, kutipan derma itu bagi membiayai kempen jahat NGO berkenaan kerana wang berkenaan tidak pernah sampai ke Sarawak atau digunakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Penan,” katanya.
Beliau memberitahu peserta bengkel itu bahawa sesetengah anggota masyarakat Penan telah terpengaruh dengan kempen jahat itu.
“Saya tak sanggup melihat orang yang sebangsa dengan saya diperbodohkan. Kalaulah NGO ini benar-benar ikhlas untuk membantu, kenapa mereka hanya berjumpa dengan kumpulan minoriti dan enggan bertemu dengan sebahagian besar daripada kami?” katanya.
Sebanyak 35 sukarelawan Penan termasuk lapan wanita menghadiri bengkel dua hari itu yang bertujuan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran tambahan bagi membantu masyarakat Penan.
Skim sukarela ini dimulakan pada 1989 di bawah bidang kuasa Unit Perancangan Negeri dan diselaraskan oleh Residen Bahagian masing-masing di Pejabat Daerah di Miri, Baram, Bintulu, Limbang dan Belaga, kawasan-kawasan yang mempunyai ramai anggota masyarakat Penan.
Sukarelawan ini akan membantu masyarakat Penan menetap di sesuatu kawasan bagi memudahkan mereka menerima perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan, di samping membantu mereka menceburi bidang pertanian.-Bernama
0 comments:
Post a Comment