Al-Hafiz sebak di dewan perhimpunan

WAKIL Rakyat Batu Kurau, Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz, yang diberi penghormatan untuk memperdengarkan hafazan ayat suci al-Quran pada permulaan Perhimpunan Agung Umno 2007, kelmarin, nyaris tidak dapat meneruskan bacaannya kerana terlalu sebak sehingga menangis.

Mohd Najmuddin, satu-satunya wakil rakyat di negara ini yang bergelar Al-Hafiz, berkata beliau tiba-tiba diselubungi perasaan itu kerana terkenangkan Allahyarham bapanya, Elias Che Mat, seorang bilal masjid.

"Sebelum bapa saya meninggal ketika usia saya lapan tahun, beliau pernah mewasiatkan kepada ibu supaya mendidik saya menjadi seorang tahfiz al-Quran.

"Ketika memperdengarkan hafazan, saya tiba-tiba teringatkan Allahyarham dan kalaulah beliau masih hidup sudah tentu beliau akan berbangga melihat impiannya menjadi nyata," katanya yang diundang untuk memperdengarkan hafazannya pada saat-saat akhir.

Mohd Najmuddin berkata, beliau juga nyaris tidak dapat menunaikan wasiat bapanya itu kerana lewat belajar membaca al-Quran, malah ketika usia remajanya, beliau langsung tidak mahir membaca kitab suci itu.

"Alhamdulillah, ketegasan guru di Pusat Islam dan doa ibu berjaya memberi kekuatan kepada saya untuk bergelar Al-Hafiz," katanya yang mengambil masa dua tahun setengah untuk menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, antara petua yang diamalkannya untuk menguatkan pemikirannya dalam hafazan ialah memakan 21 kismis merah setiap hari dan buah delima, selain mengelakkan makanan seperti otak udang, kepala ikan serta minuman berkarbonat.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, seorang lagi adiknya, Muhd Khazim, seorang pendakwah di Perak juga bergelar Al-Hafiz.

0 comments: