Oleh Munira Yusoff
KUALA LUMPUR Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini semalam, beliau melarikan diri dari apartmen majikannya, Yim Pek Ha kerana tidak tahan dipukul bertubi-tubi oleh wanita itu.
Nirmala, 22, berkata, dia dipukul di kepala, dahi dan bawah hidung menggunakan cawan besi oleh majikannya itu pada 17 Mei 2004.
Beliau juga menafikan cadangan peguam bela, Jagjit Singh bahawa keterangannya mengenai perkara itu sebelum ini, adalah tidak benar.
"Saya tidak bersetuju bahawa darah yang menitik ke dalam cawan besi itu dibuat saya sendiri sebelum 17 Mei dan saya nafikan bahawa keterangan ini adalah rekaan saya.
"dipukul pada tarikh itu, saya tidak membantah kerana bimbang akan dipukul lagi jika melawan," katanya.
Dia yang memberi keterangan di hadapan Hakim Akhtar Tahir berkata: "Saya dipukul bertubi-tubi dan diarahkan tertuduh supaya darah yang menitis keluar dimasukkan ke dalam cawan besi itu.
"Saya melepaskan cawan besi itu dan melarikan diri kerana bimbang dia (majikannya) akan menyiram saya dengan air panas," katanya.
Katanya, beliau cuba menutup muka menggunakan tangan untuk melindungi mukanya daripada dipukul, tetapi diarah tertuduh supaya mengalihkan tangannya.
Nirmala turut tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa dia sendiri meletakkan cawan besi mengandungi darah dan penyangkut baju yang digunakan untuk memukulnya di tempat pembuangan sampah sehari sebelum 17 Mei 2004 kerana merancang melarikan diri dari majikannya.
Nirmala menyambung keterangan ketika disoal balas oleh peguam bela itu pada perbicaraan terhadap Yim, 37, menghadapi tiga tuduhan mendera pembantu rumah itu.
Yim dituduh sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B- 25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail, di sini pada Januari, Mac dan April 2004.
Dia juga didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala menggunakan cawan besi di tempat yang sama pada 3 petang, 17 Mei 2004.
Perbicaraan bersambung hari ini.
0 comments:
Post a Comment