Estrada mungkin dibebas hari ini

MANILA 25 Okt. – Bekas Presiden, Joseph Estrada mungkin dibebaskan awal dari penjara esok selepas dikenakan hukuman penjara seumur hidup bulan lalu atas dakwaan rasuah.

Satu sumber yang rapat dengan bekas pemimpin itu hari ini mendedahkan, kerajaan telah meluluskan pengampunan untuk Estrada dan beliau mungkin dibebaskan secepat-cepatnya esok.

Jurucakap Estrada, Ferdie Ramos pula menyatakan bekas Presiden itu hanya mahu dibebaskan secara biasa dan pulang terus ke rumahnya.

“Perkara pertama yang ingin dilakukan Estrada adalah untuk melawat ibunya yang sedang dirawat di sebuah hospital di pinggir Manila.

“Estrada juga tidak memaklumkan sebarang rancangan untuk arena politik negara ini,” kata Ramos.

Sementara itu, seorang penolong kanan Presiden Gloria Arroyo memaklumkan, Presiden Filipina itu bersedia memaafkan Estrada atas alasan ibunya sakit dan beliau telah dipenjarakan sepanjang perbicaraan rasuah sejak enam tahun lalu.

Estrada digulingkan dalam satu kebangkitan rakyat yang disokong tentera pada 2001 akibat skandal rasuah yang membawa kepada pendakwaan ke atas bekas Presiden itu.

– AFP

0 comments: