‘Jangan wujudkan krisis baru’ -- China, Rusia tolak sebarang sekatan PBB ke atas Myanmar

HARBIN, China 25 Okt. – China dan Rusia mendesak junta tentera Myanmar untuk duduk semeja dengan pihak pembangkang tetapi pada masa yang sama, kedua-dua negara itu menentang sebarang bentuk sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Yangon.

Dua kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB itu menyifatkan tindakan keras Myanmar ke atas bantahan prodemokrasi yang diketuai sami Buddha sebagai isu dalaman sekali gus menghalang perbincangan mengenai apa-apa sekatan.

Menteri Luar China, Yang Jiechi dan rakan sejawatannya dari Rusia, Sergei Lavrov serta India, Pranab Mukherjee dalam satu perbincangan menyatakan bahawa selain hukuman, mereka menyokong usaha oleh utusan khas PBB, Ibrahim Gambari untuk memulakan rundingan antara pembangkang dan para jeneral yang memerintah Myanmar.

“Inisiatif telah diambil oleh Ibrahim, beliau patut diberi galakan.

“Sepatutnya tiada sebarang sekatan dikenakan ketika ini,” kata Mukherjee kepada pemberita.

Sementara itu, Lavrov memberi amaran bahawa sekatan, ancaman atau sebarang bentuk tekanan ke atas junta akan “memburukkan keadaan dan mencipta krisis baru.”

“Kami harap negara yang terlibat akan memainkan peranan dan bukan mengenakan sekatan sehingga mewujudkan krisis baru,” ujar Jiechi.

Sementara itu, beberapa kumpulan aktivis yang memakai pakaian penjara berwarna putih dan topeng mengadakan demonstrasi di bandar-bandar besar seluruh dunia bagi memperingati tempoh tahanan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang masuk tahun ke-12.

Mesyuarat antara China, India dan Rusia itu adalah sebahagian daripada kebangkitan pakatan lemah menentang dominasi Amerika Syarikat dalam hal ehwal global pada 1950-an tetapi satu kenyataan bersama menjelaskan bahawa forum terbaru buat kali ketiga itu “tidak disasarkan kepada mana- mana negara atau pertubuhan.”

– AP

0 comments: