Rekha dakwa kena culik

Oleh Fazallah Pit


JUMPA KEMBALI: Salmah bersama suaminya, Ahamad berpelukan dengan Rekha di IPD Timur Laut, malam tadi.

Budak hilang empat hari ditinggalkan di hentian bas dalam keadaan selamat

GEORGETOWN: Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang hilang selepas keluar berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam di sini lima hari lalu ditemui selamat malam tadi oleh pasangan suami isteri yang juga kenalan bapanya.

Rekha Abdullah yang keluar rumah berbekalkan RM5 untuk membeli cakera padat video (VCD) di pasar malam itu dipercayai diculik oleh seorang wanita dan dikurung empat hari di sebuah rumah pangsa di Farlim, Air Itam.

Dia dipercayai dibebaskan selepas penculiknya menyedari kehilangan kanak-kanak itu mendapat liputan meluas media dan polis melancarkan gerakan besar-besaran mencarinya.


Ketika ditemui berhampiran Masjid Kapitan Keling, tidak jauh dari Kampung Kolam, dia berkemeja T bercorak hijau putih dan berseluar pendek coklat muda. Ketika keluar rumah dia hanya memakai kemeja T dan seluar panjang putih.

Bapa tirinya, Ahamad Omar, berkata Rekha memberitahu dia dibawa oleh seorang wanita ke sebuah rumah pangsa di Farlim sejak Isnin lalu.

Sejak diculik, Rekha dikurung dalam rumah itu apabila wanita berkenaan keluar dengan menguncinya dari luar. Budak itu juga mendakwa dia dipukul ketika dikurung di rumah itu.


Bagaimanapun, wanita itu membebaskan Rekha dengan membawa budak itu ke sebuah hentian bas di Farlim dan memintanya menaiki bas pulang ke rumah.

"Ketika di rumah itu, Rekha diberi makan dan pakaian," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini malam tadi.

Ahamad berkata, pasangan yang mengenali Rekha serta mengetahui kehilangannya menghantar kanak-kanak itu ke rumahnya menaiki motosikal.

Katanya, sebaik tiba di rumah, Rekha yang menangis ketika menaiki motosikal terus memeluk ibunya, Salmah Sellamah Abdullah.

Kira-kira jam 9.20 malam tadi, Ahamad dan isterinya membawa Rekha ke Balai Polis Central sebelum dibawa ke IPD Timur Laut.

Akhbar ini kelmarin melaporkan kehilangan Rekha yang dikatakan ke pasar malam berhampiran rumahnya, kira-kira jam 9 malam Isnin lalu untuk membeli VCD. Ketika kejadian, ibunya seorang warga India bertaraf pemastautin tetap, bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Ahli keluarganya bimbang apabila Rekha tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam dan dengan bantuan beberapa jiran, mencarinya di sekitar tapak pasar malam, rumah rakan serta tempat permainan Rekha, tetapi gagal.

Selepas empat jam mencari dan gagal menemui Rekha, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Central jam 4 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Koh Hong Sun, berkata polis dimaklumkan penemuan Rekha oleh bapa tiri budak itu yang menghubungi polis malam tadi.

"Budak itu sudah ditemui dan kami menghantarnya ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan," katanya sambil menambah polis belum mengambil keterangan daripada Rekha dan pasangan berkenaan.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai wanita yang dikatakan membawa Rekha ke Farlim dan mengurungnya, berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik.

0 comments: