Recka dijumpai di Masjid Kapitan Keling

Oleh NURUL HUDA HASSAN


RECKA (kanan) gembira memeluk ibunya, Salma Sellamah sambil diperhatikan oleh Ahamad Omar dan adiknya, Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar MOHD. NAIM AZIZ.

PULAU PINANG 25 Okt. – Kanak-kanak perempuan Recka Abdullah, 10, yang hilang selepas keluar ke pasar malam untuk membeli cakera padat video (VCD) Isnin lalu telah ditemui di Masjid Kapitan Keling di Lebuh Chulia di sini malam ini.

Bapa tiri mangsa, Ahamad Omar, 49, berkata, kanak-kanak tersebut ditemui oleh sepasang suami isteri di masjid berkenaan kira-kira pukul 9 malam yang kemudian menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Kampung Kolam.

Tambahnya, Recka ditemui dalam keadaan yang sihat dan masih memakai pakaian yang sama semasa dia hilang empat hari lalu iaitu berbaju dan berseluar putih.

‘‘Menurut Recka, dia diculik oleh seorang suspek yang dikenalinya dan kemudian dikurung di sebuah flat di Farlim, Ayer Itam selama empat hari sebelum ditinggalkan di perhentian bas di kawasan berdekatan hari ini.

‘‘Suspek menyuruhnya pulang sendiri dan Recka beritahu dia naik bas dan sampai di masjid berkenaan. Kemudian satu pasangan suami isteri menemuinya dan menghantarnya pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Katanya, selepas itu dia dan isterinya, Salma Sellamah Abdullah, 41, menghantar Recka ke Balai Polis Central sebelum mereka semua dibawa ke IPD Timur Laut.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Koh Hong Sun pada satu sidang akhbar lewat malam ini berkata, mangsa telah ditemui hasil maklumat orang awam kira-kira pukul 9.20 malam.

‘‘Sejurus ditemui bapa tirinya telah membawanya ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

‘‘Setakat ini, kita masih belum mengambil sebarang keterangan daripada mangsa dan akan hanya berbuat demikian selepas Recka mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di hospital,” katanya.

Jelas beliau, siasatan akan terus dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin lepas, Recka yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island, Jalan Larut di sini didakwa hilang selepas ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam untuk membeli VCD pada pukul 9 malam.

Selepas usaha mencarinya menemui kegagalan, ibu serta bapa tiri mangsa, bertindak membuat laporan di Balai Polis Central di sini kira-kira pukul 4 pagi kelmarin.

0 comments: