Kita sedia 'import' pakar aeroangkasa

KOTA KINABALU: Malaysia sedia membawa masuk tenaga pengajar berkelayakan dari luar negara dalam bidang aeroangkasa seiring usaha memperluaskan penguasaan bidang itu untuk jangka panjang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata dasar sedia ada menerusi perkhidmatan kontrak dan program mendapatkan kepakaran (brain gain) adalah antara pendekatan ke arah globalisasi yang dilaksanakan bagi memantapkan sistem pendidikan negara.

"Kita memang kekurangan tenaga pengajar dalam bidang seperti aeroangkasa dan untuk mengatasinya, kita mesti membuka ruang untuk pelaksanaan globalisasi, termasuk mengimport kepakaran.

"Sistem dulu tidak membenarkan perkara itu (mengimport kepakaran) dilakukan tetapi sekarang berbeza kerana kita menyedari kepentingan meningkatkan ilmu.

"Banyak lagi boleh dilakukan jika kita mempunyai sumber kewangan yang besar tetapi sekurang-kurangnya kita sudah memulakan langkah pertama," katanya selepas melancarkan menyampaikan taklimat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, semalam.

Pada majlis sama, Mustapa turut menyampaikan watikah pelantikan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2007/08 dan geran penyelidikan kepada tenaga akademik UMS.

0 comments: