Darah 3 tertuduh diambil untuk analisis DNA – Doktor

SHAH ALAM 25 Okt. – Seorang pakar perubatan kecemasan mengesahkan ketiga-tiga tertuduh dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu telah dibawa berjumpa beliau untuk diambil sampel darah bagi tujuan analisis asid deoksiribonukleik (DNA).

Dr. Zainal Effendy Zainal Abidin, 36, yang kini bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mereka bertiga dan seorang anggota polis wanita bernama Rohaniza (Lans Koperal Rohaniza Roslan) tiba bersama sepasukan polis pada pukul 12 tengah hari 10 November 2006.

Beliau yang sebelum ini bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagaimanapun mengakui hanya dapat mengecam wajah tertuduh ketiga iaitu penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Menurut Dr. Zainal, anggota polis yang mengetuai pasukan itu iaitu Sarjan Mohd. Saad Kimbok telah memberikan kepada beliau borang permintaan pengambilan sampel darah (ID 190) ketiga-tiga tertuduh dan Rohaniza.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup di mana salinan asal borang-borang tersebut, saksi pendakwa ke-43 itu memberitahu, kesemuanya kini berada dalam simpanan di Unit Rekod Jabatan Kecemasan HKL.

Manoj kemudiannya memberikan satu demi satu dokumen-dokumen berkaitan proses pengambilan darah untuk dicamkan oleh saksi.

Soalan juga diajukan kepada Dr. Zainal sama ada beliau pernah bertanya kepada Asisten Supritendan (ASP) Tony Lunggan atau wakilnya, tentang perbezaan nombor laporan dan balai dalam dokumen berkaitan pengambilan sampel darah yang telah diberikan kepadanya.

Dr. Zainal: "Saya tidak bertanya."

Sebelum itu, pakar berkenaan telah diminta untuk menerangkan proses-proses pengambilan sampel darah.

"Saya telah memanggil suspek dan memastikan dokumen yang diperlukan lengkap. Kemudiannya, pemeriksaan dijalankan seorang demi seorang dimulai oleh Abdul Razak. Saya bertanya setiap suspek sama ada mereka faham serta bersetuju memberikan kebenaran untuk sampel darah diambil dan menurunkan tandatangan.

"Sampel darah yang saya ambil di tangan kanan mereka telah dimasukkan ke dalam botol yang disediakan. Seterusnya botol telah saya labelkan sendiri sebelum diserahkan kepada pembantu saya untuk dipaterikan," kata Dr. Zainal.

Semua urusan membubuh pateri pada setiap botol telah dibuat di hadapan beliau.

Seterusnya saksi telah diminta oleh Manoj supaya mengecam botol EDTA (P156B) berisi sampel darah milik Sirul Azhar, P157A (Abdul Razak), (P158) milik Azilah dan (P159) milik Rohaniza.

Pengecaman tersebut dibuat berdasarkan nama dan nombor kad pengenalan mereka yang ditulis sendiri oleh beliau.

Seterusnya, menurut Dr. Zainal, beliau telah mengisi borang permohonan bagi pemeriksaan forensik untuk mereka.

Ketika proses pengambilan darah, menurut pakar itu, suspek berada di bawah pengawasannya.

Pada pukul 10.37 pagi, Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin kelihatan menukar buku nota keterangan perbicaraan kepada buku yang baru. Sehingga ke hari ini, beliau sudah menggunakan sebanyak lima buah nota prosiding yang tebalnya antara 400 dan 500 muka surat setiap satu.

0 comments: