Kabinet teliti syor naik kadar tol

Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Kertas Kabinet mengenai kenaikan kadar tol lapan lebuh raya konsesi, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan mulai 1 Januari depan diserahkan kepada jemaah menteri minggu ini untuk diteliti sebelum dibincang dan diputuskan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata dokumen itu antara lain mengandungi penjelasan klausa perjanjian konsesi dan cadangan yang boleh diambil kerajaan berhubung perkara itu.

"Saya serahkan kepada Kabinet minggu ini, kemudian kementerian lain memberi ulasan sebelum Setiausaha Kabinet memberi tarikh untuk isu itu dibincangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rangkaian Usahawan Sikh Antarabangsa (NISE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Awal bulan ini, Samy Vellu dilaporkan berkata kadar tol di lebuh raya berkenaan tidak akan dinaikkan selagi kajian cadangan kenaikan membabitkan lapan pemegang konsesi belum diserahkan kepada Kabinet.

Katanya, Kementerian Kerja Raya akan memastikan sebarang keputusan tidak menambah beban pengguna dan tidak menjejaskan prestasi syarikat konsesi berdasarkan perjanjian sebelum ini.

Tahun ini, kadar tol di lima lebuh raya di sekitar Lembah Klang dinaikkan 20 hingga 60 peratus atau antara 30 sen hingga RM1 selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Lebuh raya itu ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendesak kerajaan tidak menaikkan kadar tol di lapan lebuh raya pada tahun depan.

Ditanya sama ada Kertas Kabinet itu mencadangkan kenaikan kadar tol lebuh raya konsesi berkenaan, Samy Vellu berkata beliau hanya memberitahu situasi berkaitan kepada jemaah menteri untuk diputuskan.

"Tol adalah sesuatu yang sensitif kepada rakyat... perkara ini tidak boleh diputuskan dengan cepat. Kabinet perlu membincangkannya berhati-hati seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

0 comments: