KUALA LUMPUR 25 Okt. – Ibu bapa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor terpaksa pulang ke tanah air dua hari lebih awal untuk melawat anak keempat mereka yang berada dalam keadaan koma sejak Ahad lalu.
Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan isteri, Datin Zuraida Sheikh Ahmad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari Moscow, Rusia hari ini.
Bagaimanapun, anak sulung pasangan tersebut, Sheikh Ahmad yang turut menemani mereka sepanjang berada di Rusia dan Kazakhstan tiba lewat kerana terpaksa menaiki pesawat lain kerana ketiadaan tempat duduk.
Sebaik tiba, mereka bergegas ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), tempat anaknya dirawat dan tiba kira-kira pukul 6.30 petang.
Ahad lalu, Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie, 32, yang juga dikenali sebagai Ajil pengsan selepas terlanggar tiang ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini.
Sementara itu, Sheikh Mustapha ketika ditemui pemberita selepas melawat Ajil memberitahu, keadaan anaknya masih kritikal.
‘‘Keadaannya nampak kritikal dan saya tidak pasti sama ada dia mampu sembuh atau tidak.
‘‘Saya berserah kepada Allah agar dia sembuh,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment