PUTRAJAYA 25 Okt. – Kementerian Kerja Raya akan mengemukakan kertas Kabinet kepada Jemaah Menteri minggu ini mengenai keperluan menaikkan kadar tol mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kertas kerja itu bagaimanapun tidak memasukkan sebarang cadangan kenaikan sebaliknya menerangkan tentang situasi yang ada pada hari ini berkaitan operasi kutipan tol oleh syarikat-syarikat konsesi.
“Ini bukan saya cadangkan kenaikan tol, saya beritahu kepada kerajaan tentang situasinya, (jadi) apakah keputusannya, ini satu persoalan.
“Saya mempersembahkan berita itu dan keputusannya dalam tangan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perniagaan Global bagi Rangkaian Keusahawanan Antarabangsa Sikh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Beliau mengulas cadangan untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus membabitkan lapan pemegang konsesi lebuh raya mulai 1 Januari tahun depan sebagaimana yang termaktub dalam kontrak perjanjian syarikat berkenaan dengan kerajaan.
Menurut Samy Vellu, setakat ini Kabinet tidak membincangkan perkara itu dan tiada sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan kadar tol pada tahun depan.
“Tetapi saya hantar kertas Kabinet kerana menteri mesti menghantar kertas tentang sesuatu subjek kepada Jemaah Menteri sebelum 60 hari kerana pada 1 Januari tahun depan, mengikut kontrak dengan syarikat konsesi ada kenaikan kadar tol. Kalau kata tidak, maka tidaklah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment