Kebakaran terburuk California bakal berakhir


Sebahagian penduduk San Diego berlindung di pusat masyarakat Temecula akibat kebakaran itu. – AFP.

LOS ANGELES 25 Okt. – Anggota bomba hari ini menarik nafas yang agak melegakan apabila cuaca lebih sejuk dan tiupan angin lebih perlahan membantu mereka mengawal api kebakaran hutan di California daripada merebak.

Pihak berkuasa yang terlibat dalam memadamkan kebakaran memaklumkan bahawa perubahan cuaca itu, telah membantu usaha kira-kira 9,000 kakitangan mereka memadamkan api dan menghalangnya daripada terus merebak.

Kebakaran yang memasuki hari kelima, sehingga ini memusnahkan memusnahkan 2,072 kilometer persegi hutan (800 batu persegi), 1,300 rumah dan memaksa lebih setengah juta penduduk berpindah.

Sebelum ini, api yang marak itu juga telah meragut enam nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh lagi, kebanyakannya anggota bomba.

Sementara itu, daerah San Diego mengalami kemusnahan paling teruk dengan kerugian melebihi AS$1 bilion (RM3.36 bilion) untuk kemusnahan kediaman sahaja, manakala tiga kebakaran terbesar di daerah ini, masih lagi gagal dikawal.

Bagaimanapun, antara kebakaran yang paling marak adalah di daerah Orange ke selatan Los Angeles di mana kebakaran hutan seluas 80.94 kilometer persegi pernah merebak mengelilingi satu kawasan komuniti berpagar.

– Reuters

0 comments: