Suspek kedua kes tikam budak dikesan

SHAH ALAM: Selepas enam hari kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun, Mohd Khairul Nizam Rizal Azmi, meninggal dunia ditikam menggunakan serpihan kaca di sebuah kosong di Taman Perangsang, Kapar, polis masih menjejaki suspek kedua yang dikatakan bersubahat menikam kanak-kanak malang itu.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata pihaknya masih memburu suspek kedua berumur 16 tahun yang dikatakan ada bersama suspek utama berumur 15 tahun ketika kejadian jam 4 petang 19 Oktober lalu.

"Kes masih dalam siasatan dan kita sedang memburu suspek kedua yang didakwa berada di tempat kejadian," katanya semalam.


Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek utama yang juga pelajar sebuah sekolah agama di Kajang akan dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan mental, sebaik siasatan selesai.

Suspek utama, tinggal selang beberapa rumah dari rumah mangsa ditahan sejurus kejadian dan direman seminggu bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya mungkin mendapatkan perintah melanjutkan reman untuk mendapatkan beberapa lagi maklumat tambahan.

0 comments: