Kes empat suspek ‘istimewa’

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM

SHAH ALAM 25 Okt. – Kes terhadap ketiga-tiga tertuduh dan bekas teman wanita Cif Inspektor Azilah Hadri adalah suatu kes yang ‘istimewa’ lagi menarik, oleh sebab itulah suspek tidak dibenarkan bercampur dengan orang awam ketika darah mereka diambil untuk tujuan pemeriksaan.

Perkara tersebut diberitahu oleh Sarjan Mohd. Saad Kimbok, 49, dari Cawangan Jenayah Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-52 hari ini.

Menurut saksi pendakwa ke-44 itu, beliau bersama sembilan anggota polis telah membawa Abdul Razak Abdullah Baginda (tertuduh ketiga), Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar (tertuduh kedua) serta Lans Koperal Rohaniza Roslan (suspek yang ditahan reman) pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10 November 2006.

Terdahulunya, Mohd. Saad memberitahu, bertindak atas arahan yang diberikan sehari sebelum itu oleh Asisten Supritendan (ASP) Tony Lunggan, beliau membawa keempat-keempat suspek berjumpa dengan Dr. Zainal Effendy Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Jabatan Kecemasan HKL.

Saksi yang berjaya mengecam (mengenal pasti) ketiga-tiga tertuduh yang duduk dalam kandang tertuduh bagaimanapun kedengaran tersasul ketika menyebut nama Rohaniza sebagai Nor Aliza.

Sebutan nama yang tidak tepat itu membuatkan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bertanya kepada saksi: “Namanya ada Nor ke?"

Mohd. Saad yang pada peringkat ini kelihatan seolah-olah terpinga-pinga dengan pertanyaan hakim berkenaan, segera disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup: “Kamu cam atau tidak mukanya?”

Saksi itu menjawab ringkas beliau boleh mengecam wajah Rohaniza (Nor Aliza).

Apabila Rohaniza yang beruniform dipanggil masuk untuk tujuan pengecaman, Hakim Mohd. Zaki mengarahkan wanita itu menyebut namanya: “Yang Arif. Nama saya Rohaniza Roslan.”

Sambil memandang ke arah Mohd. Saad yang duduk di dalam kandang saksi, Hakim Mohd. Zaki bertanya: “Hah! bukankah lain tu?”

Dalam keterangannya, Mohd. Saad memberitahu yang beliau telah memaklumkan kepada Dr. Zainal bahawa kes terhadap tahanan reman yang dibawa oleh beliau itu adalah kes istimewa, oleh itu mereka tidak boleh bercampur dengan orang awam ketika darah diambil.

Sebelum proses pengambilan darah dijalankan, kata Mohd. Saad, beliau terlebih dahulu memberikan surat kebenaran yang telah ditandatangani oleh Tony kepada Dr. Zainal untuk ditandatangani sendiri oleh setiap suspek yang dibawa secara bergari.

Pada tahap ini, Mohd. Saad telah diminta untuk mengesahkan beberapa helai sampul surat serta isi kandungannya.

Sampul surat tersebut sebenarnya telah diserahkan oleh Dr. Zainal kepada Mohd. Saad pada tarikh yang sama selepas selesai proses pengambilan darah.

Namun, ketika Manoj memberikan sampul berkenaan untuk dicamkan, Mohd. Saad menjawab: “Saya tidak pernah lihat sampul ini.”

Selepas dibelek-belek sampul berkenaan dan diminta oleh Manoj untuk mengesahkan adakah ia sampul surat yang sama yang telah diserahkan oleh Dr. Zainal, Mohd. Saad berkata, “Saya tidak pasti.”

Manoj dengan nada penuh kesabaran berkata: “Ok. Tidak mengapa. Cuba kamu lihat kandungannya (sampul surat).”

Mendengarkan soalan tersebut, Mohd. Saad tanpa berlengah terus mengoyakkan sampul surat yang memang sudah dibuka oleh saksi sebelum ini.

Manoj: “Eh! janganlah kamu koyakkan.”

Menurut saksi, sampul surat itu mengandungi botol contoh darah yang telah diambil oleh Dr. Zainal.

Kembali pula kepada soalan sebelumnya, kata Manoj: “Adakah sekarang kamu boleh mengecam kandungannya.”

Mohd. Saad: “Saya boleh mengecamnya sekarang. Tadi saya kurang pasti dan keliru kerana tiba-tiba sahaja saya lihat ada sticker (pelekat) Jabatan Kimia Malaysia pada sampul surat ini.”

Dalam satu soalan lain pula, Mohd. Saad mengatakan bahawa Dr. Zainal memang telah menyerahkan sampul surat berisi sampel darah Azilah, Sirul dan Abdul Razak serta Rohaniza tetapi beliau tidak pasti sama ada pakar berkenaan ada memberikan borang untuk permintaan forensik.

Manoj kemudiannya memberikan kepada Mohd. Saad borang permintaan forensik dan bertanya adakah beliau pernah melihatnya.

Mohd. Saad menjawab ringkas yang beliau tidak pasti kerana tidak membuat pemeriksaan.

Selepas selesai proses pengambilan sampel darah dan penyerahan dokumen yang berkaitan, ujar saksi, beliau telah membawa suspek balik ke IPKKL untuk diserahkan kepada ASP Tony.

Sepanjang perbicaraan hari ini, keluarga ketiga-tiga tertuduh tidak pernah jemu untuk bersama-sama mendengar keterangan yang diberikan. Meskipun ruang mahkamah yang sebelum ini penuh hinggakan polis terpaksa membawa masuk kerusi-kerusi tambahan untuk orang awam bagaimanapun bilangan yang hadir hari demi hari dilihat semakin berkurangan.

Azilah, 31, dan Sirul, 36, sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan bersambung Isnin.

0 comments: