Kirchner dijangka menang mudah pemilihan Presiden

SAN JUSTO 25 Okt. – Wanita Pertama Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner digambarkan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menumpaskan 12 pesaingnya dalam perebutan kerusi Presiden yang bakal berlangsung Ahad ini.

Di San Justo iaitu salah sebuah kawasan di pinggir bandar Buenos Aires, Fernandez yang mengenakan busana merah dan kasut berwarna emas mengumpulkan mesej bertulis dari pelbagai lapisan rakyat sambil bersalaman dan berpelukan dengan penyokong beliau.

“Lingkaran kemiskinan” di sekeliling Buenos Aires sebenarnya adalah kawasan kediaman kepada 40 peratus kuasa mengundi di Argentina dan mungkin menjadi kekuatan kepada Fernandez untuk menang Ahad ini tanpa perlu pusingan kedua.

Fernandez memerlukan 45 peratus undi atau sekurang-kurangnya 10 peratus mendahului pesaing lain.

Tinjauan pendapat oleh akhbar Argentina menggambarkan isteri kepada Presiden Nestor Kirchner itu mampu menggantikan kedudukan suami beliau ketika ini.

Akhbar Poliarquia Consultores meramalkan Fernandez, 54, bakal memperoleh 41 peratus undi berbanding calon lain, Elisa Carrio sebanyak 15 peratus dan Roberto Lavagna, 11 peratus.

– AP

0 comments: