Dewan Rakyat: Syor swasta bantu program angkasawan

SEKTOR swasta, termasuk syarikat korporat diminta menyumbang sebahagian perolehan pendapatan untuk membantu kerajaan meneruskan program angkasawan negara.

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Badruddin Amirulddin, berkata sokongan mereka amat diperlukan bagi memastikan program angkasawan dan pelbagai kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penerokaan angkasa lepas dapat diteruskan pada masa depan.

Beliau berkata, sumbangan sektor swasta dan korporat perlu sebagai sokongan kepada usaha kerajaan meneruskan misi menghantar rakyat tempatan ke angkasa lepas.

"Saya cadangkan sektor swasta dan korporat sedia menyalur dan memperuntukkan keuntungan yang diperoleh kepada program ini supaya negara dapat menghasilkan lebih ramai angkasawan.

"Sektor swasta berkaitan industri angkasa lepas juga perlu mengambil peluang menggunakan program angkasawan untuk mengadakan lebih banyak R&D di angkasa lepas, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Badruddin berkata, semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar mengikuti sepenuhnya dari awal misi menghantar angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Katanya, ia bukan saja menimbulkan minat tetapi memberi harapan kepada generasi muda untuk mempelajari bidang sains dan bercita-cita menjadi angkasawan.

"Program angkasawan juga dapat meningkatkan minat pelajar luar bandar terhadap bidang sains dan ia akan membantu melahirkan modal insan berilmu pengetahuan tinggi,� katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya angkasawan negara ke ISS dapat tinggal lebih lama bagi membolehkan mereka mengadakan lebih banyak kajian.

0 comments: