Oleh Hardi Effendi Yaacob
LANCAR OPERASI: Anggota Unit Anjing Pengesan (K-9) di tempat kejadian empat polis kena tembak di Kampung Desa Aman Sungai Buloh, malam tadi. |
SUNGAI BULOH: Dua polis mati ditembak, manakala dua lagi parah dalam serbuan sebuah rumah yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu di Taman Suria, Kampung Desa Aman di sini malam tadi.
Anggota polis yang meninggal dunia ialah Lans Koperal Jaya Balan Krishnan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Lans Koperal Alageson Malappan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Dua pegawai polis yang cedera ialah Cif Inspektor Helmi Zakaria dari cawangan Narkotik IPD Gombak dan Cif Inspektor Rajakumar Laju dari JSJ Komersial Bukit Aman.
Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, empat anggota polis yang berpakaian preman itu dikatakan ditembak sekurang-kurangnya 10 das tembakan oleh penjenayah dipercayai lebih daripada seorang.
Jaya Balan mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan pada dada, manakala Alageson terkena tembakan pada perut dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh. Seorang yang cedera dilaporkan kritikal, manakala seorang lagi stabil dan sedang dirawat di hospital berkenaan.
Kejadian berlaku ketika mereka menyerbu rumah teres dua tingkat berkenaan kira-kira jam 7 malam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang sedih kecewa dengan kejadian itu berkata, polis sudah melancarkan gerakan besar-besaran memburu suspek dan semua kontinjen di seluruh negara sudah diarahkan mengesan mereka.
Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri menaiki kenderaan dan usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti identiti mereka.
"Kita sedang siasat kes ini secara terperinci dan sedang menyiasat kemungkinan hubungan penjenayah ini dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Ketua JSJ Selangor, SAC II Mazlan Mansor.
Musa turut mengesahkan hasil pemeriksaan awal, beberapa peralatan memproses dadah ditemui di rumah berkenaan.
Tinjauan Berita Harian mendapati kawalan keselamatan dipertingkatkan di tempat kejadian dengan kehadiran Unit Tindakan Khas (UTK) untuk mengawal keadaan.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan namanya disiarkan berkata suspek baru tinggal di rumah berkenaan dengan penghuni seramai empat orang iaitu dua lelaki dewasa, masing-masing seorang wanita dan kanak-kanak yang dipercayai isteri serta anak salah seorang suspek.
"Keluarga mereka tidak bergaul dengan jiran dan jarang kelihatan pada waktu siang," katanya yang tidak tahu pekerjaan suspek.
Katanya, sebelum kejadian beliau ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki empat lelaki dipercayai anggota polis datang ke rumah itu.
"Beberapa minit selepas itu terdengar banyak bunyi tembakan menyebabkan saya takut untuk keluar rumah dan membiarkan keadaan reda sebelum bergegas keluar untuk memberi bantuan kepada anggota polis yang cedera dengan membawa mereka ke hospital," katanya.
0 comments:
Post a Comment