Oleh UMAVATHI RAMAYAH
|
|
SUNGAI BULOH 25 Okt. – Tiga anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi parah ditembak sekumpulan lelaki di Jalan TS2, Taman Suria, Kampung Desa Aman, di sini, malam ini.
Anggota yang terbunuh ialah Lans Koperal Jaya Balan Krishnan dari Jabatan Narkotik Gombak, Lans Koperal Alagesan Mariapan dari Ibu Polis Kontinjen Selangor dan Koperal R. Rajakumar dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial.
Pegawai yang cedera ialah Cif Inspektor Helmi Zakaria dari Jabatan Narkotik Gombak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira pukul 7 malam ketika keempat-empat anggota polis itu menyerbu sebuah rumah di taman berkenaan kerana dipercayai menjadi tempat menyimpan dadah.
‘‘Tiba-tiba dua buah kereta datang dari luar dan beberapa lelaki yang berada di dalam dua kenderaan itu melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.
‘‘Berikutan itu seorang anggota polis mati di tempat kejadian, manakala dua orang lagi disahkan mati setibanya di Hospital Sungai Buloh,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian malam ini.
Musa berkata, polis sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai rangkaian antarabangsa atau sebaliknya.
Beliau juga menyifatkan suspek terbabit sebagai penjenayah yang berbahaya kerana mempunyai senjata.
Difahamkan polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal di tempat kejadian.
Menurut seorang saksi, Tan Yik Keey, 45, dia terdengar beberapa das tembakan dan terus keluar serta ternampak seorang polis tidak bergerak, manakala dua lagi masih hidup.
Selepas itu, kata Yik Keey, dia meminta rakannya menghubungi polis dan dia memasukkan dua anggota polis yang cedera ke dalam kenderaan pacuan empat roda milik polis.
‘‘Anggota polis yang tiba di tempat kejadian membawa mangsa ke hospital menggunakan kenderaan itu,’’ katanya.
Pada 23 Oktober lalu, dua anggota polis ditembak dan cedera dalam kejadian di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Seremban, Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke ibu negara.
Dalam kejadian berhampiran pasar borong Selangor pada 22 Oktober pula, dua lagi anggota polis cedera dalam kejadian tembak menembak.
0 comments:
Post a Comment