YANGON 25 Okt. – Pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi meninggalkan kediamannya tempat beliau ditahan hari ini untuk menemui seorang pegawai kanan yang dipercayai dilantik oleh junta tentera sebagai pegawai perhubungan dengan pihak pembangkang.
“Suu Kyi meninggalkan rumahnya pada pukul 2 petang tadi dan akan bertemu dengan Menteri Buruh Aung Kyi di rumah tetamu negara,” kata seorang pegawai.
Aung Kyi telah dilantik untuk mengekalkan hubungan dengan Suu Kyi oleh junta tentera Myanmar.
Kali terakhir Suu Kyi meninggalkan kediaman tempat beliau ditahan selama 12 tahun sejak 18 tahun lalu adalah pada 2 Oktober lalu ketika bertemu dengan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari di sebuah rumah tetamu tentera di Yangon.
Hari ini merupakan hari pertama pertemuan antara tokoh pembangkang itu dengan Aung Kyi yang dilantik menurut cadangan Ibrahim iaitu pihak junta memerlukan seorang pegawai untuk membina hubungan dengan Suu Kyi.
Langkah itu diambil ketika tekanan diplomatik yang semakin meningkat menjelang ketibaan buat kali kedua Ibrahim di Myanmar.
Ibrahim dijangka tiba di negara itu pada minggu pertama bulan depan dan diikuti dengan pegawai hak asasi PBB, Paulo Sergio Pinheiro.
– AFP
0 comments:
Post a Comment