BANDAR BAHARU 25 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan agresif Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa mereka yang menyeleweng di mahkamah membukitkan komitmen kerajaan dalam membanteras gejala itu.
Ini sekali gus, kata Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, dapat menangkis tanggapan negatif kononnya kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam menangani masalah itu.
“Tindakan BPR sejak beberapa hari lalu sudah menjawab sebahagian besar tohmahan pengkritik sebelum ini yang menganggap kerajaan tidak telus dan berdiam diri terhadap gejala rasuah.
“Mesej yang ditunjukkan BPR ini jelas kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan berkompromi dan membiarkan amalan rasuah menjadi sebahagian daripada budaya kerja masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Datuk Azimi Daim di Serdang, dekat sini hari ini.
Khairy berkata demikian sebagai mengulas tindakan BPR yang mengheret 13 orang termasuk 11 kakitangan kerajaan di mahkamah di empat negeri sejak kelmarin dan semalam atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.
Kesemua terbabit termasuk berjawatan pengarah dan penolong pengarah di Kementerian Belia dan Sukan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Menurut Khairy, Pergerakan Pemuda UMNO juga menyokong penuh tindakan agresif itu dan berharap badan tersebut dapat mempergiatkan lagi usaha membanteras rasuah serta mengheret mereka ke mahkamah.
“Seperti mana yang diharapkan Perdana Menteri, Pemuda UMNO juga mahukan BPR menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah supaya ia dapat memelihara unsur integrasi dan ketelusan berterusan,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya juga berhasrat menganjurkan pelbagai program bersama BPR bagi memupuk kesedaran di kalangan ahli-ahlinya.
0 comments:
Post a Comment